Thursday, December 30, 2010

Tiket yang dimamah ulat

Terminal Bas Stadium Bkt. Jalil, KL

TIKET YANG DIMAMAH ULAT

Apabila berbicara mengenai perkhidmatan bas ekspres di negara ini mungkin ramai yang akan mengeluh dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh beberapa syarikat dan pengusaha bas. Namun terdapat syarikat yang terus komited dan berkembang maju selari dengan perkhidmatan yang mereka sediakan kepada pengguna. Syarikat berskala besar dan mampu menawarkan pelbagai destinasi dengan kenderaan yang selesa dan selamat pasti menjadi pilihan utama para pengguna. Berbeza pula dengan syarikat kecil yang hanya mampu menawarkan beberapa perjalanan dan desitnasi sehari, ternyata berbeza. Syarikat bas ekspres seperti ini sering kali menggunakan perkhidmatan penjual tiket atau perayu (lebih dikenali sebagai ulat tiket) di hentian dan terminal bas bagi memastikan setiap trip penuh dengan penumpang. Penulisan pada kali ini akan mengupas isu ulat tiket.

Kegiatan ulat tiket ternyata sukar dibendung walaupun pelbagai tindakan dan usaha yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa. Namun pada pendapat penulis pihak PDRM, JPJ mahupun LPKP hanya melakukan operasi pembanterasan secara berkala iaitu pada musim perayaan, tidak pada hari kebiasaan yang ternyata samseng-samseng terminal ini terus berleluasa memeras, mengugut dan memaksa para pengguna membeli tiket daripada mereka. Sejauh manakah tahap keseriusan kita dalam membanteras operasi ulat tiket yang mengganggu para pengguna pengangkutan awam di Malaysia saban hari? Dalam usaha kerajaan menambahbaik sistem pengangkutan darat melalui penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), operasi penjualan tiket yang berkesan dan efektif juga perlu diambil kira selain menyediakan kenderaan yang selesa dan kemudahan infrastruktur seperti terminal pengakutan bersepadu.

Terminal Bas Stadium Bukit Jalil yang terletak di pinggir kota misalnya menawarkan destinasi ke arah Selatan negara. Terminal tersebut merupakan terminal sementara yang disediakan oleh pihak Uda Holding Berhad bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf Hentian Puduraya. Dari pemerhatian penulis, ternyata ulat-ulat tiket berleluasa tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa walaupun mereka menjalankan kegiatan di sebelah khemah pondok PDRM dan JPJ secara terang-terangan!. Ulat-ulat tiket akan menunggu dan menggangu penumpang mereka berhampiran stesen LRT dan sepanjang laluan berbumbung (LRT Stadium Bkt. Jalil-terminal bas). Penulis sendiri berpengalaman apabila dipaksa ulat tiket untuk membeli tiket bas syarikat mereka dan bersikap biadap apabila permintaan mereka ditolak.

Apabila sesuatu destinasi telah habis dijual pada sesuatu waktu, rata-rata ulat tiket ini akan berpakat sesama mereka melalui walkite talkie dan menjual tiket kosong pada harga KL-JB (RM35-RM40). Misalnya harga yang ditetapkan ialah KL-JB (RM31.20) sahaja. Apabila penumpang menunggu bas mereka, ternyata tiada bas disediakan. Sekiranya penumpang menuntut semula duit tambang, alasan yang seringkali digunakan ialah kenderaan rosak. Anda bertuah jika mereka bersetuju memulangkan duit anda, itu pun selepas bertikam lidah dengan ulat-ulat tiket, jika anda mengalah, mereka untung, anda rugi!. Pelbagai penipuan dan taktik bagi melariskan penjualan tiket mereka antaranya menunjukkan gambar bas ekspres yang digunakan serta jaminan ketibaan bas di platform pada waktunya. Namun sebaliknya bas yang disediakan adalah bas persiaran atau tambahan yang tidak sesuai untuk digunakan apatah lagi untuk destinasi yang jauh. Apek keselamatan dan keselesaan pengguna bukan tumpuan mereka, yang penting hanya keuntungan dan komisyen bagi setiap jualan tiket. Mereka akan memuatkan seramai mungkin penumpang walaupun bas sepatutnya telah bergerak sejam yang lalu!.

Pelbagai pendedahan telah dibuat oleh pihak media pada suatu masa dahulu, namun isu ini hanya timbul apabila tiba musim perayaan. Pada hari kebiasaan, ulat tiket akan terus mengganggu dan mewujudkan ketidakselesaan kepada para pengguna sekaligus memberi imej buruk kepada para pelancong terhadap sistem pengakutan negara kita. Kepada mereka yang kurang berkemampuan memiliki kenderaan persendirian akan terus menggunakan perkhidmatan bas ekspres sebagai pilihan. Persoalannya adakah ulat-ulat tiket tersebut tidak akan mengekori/ memaksa/ memeras ugut/ menipu serta berlaku biadap kepada para pengguna apabila operasi pengangkutan mula berpindah ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Selatan (SITT) di Bandar Tasik Selatan yang bernilai RM570 juta tersebut? Dimanakah pihak berkuasa kita? Tidak cukup dengan hanya menampal poster peringatan akan aktiviti ulat tiket namun tiada tindakan diambil terhadap mereka walaupun aktiviti mereka dijalankan di sebelah khemah penguatkuasa kita. Sebagai pengguna, jangan biarkan anda ditipu oleh ulat-ulat tiket. Gunakan kuasa pengguna anda dalam memilih syarikat bas ekspres yang menawarkan perkhidmatan berkualiti, selesa dan selamat.


Noor Aimran B Samsudin

Pengguna Bas Ekspres

Selasa, 28 Disember 2010

Friday, August 13, 2010

Kelestarian Kampus : Suatu Pandangan Mahasiswa

Gambar : Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya

Kelestarian Kampus : Suatu Pandangan Mahasiswa

Kelestarian kampus merupakan salah satu usaha yang amat murni dalam usaha UTM ingin mencapai sebuah kampus yang bukan sahaja hebat dari segi hasil penyelidikan dan graduan yang berkualiti tinggi namun turut menawarkan sebuah ekosistem pusat pengajian tinggi yang menekankan amalan kelestarian dalam pelbagai aspek. Usaha murni ini haruslah disokong oleh para mahasiswa, tenaga pengajar, penyelidik malah semua warga kampus. Pelbagai program dan promosi telah dan akan dirancang bagi membantu menjayakan agenda kelestarian ini.

Saya melihat kesedaran mengenai kepentingan kelestarian sesebuah ekosistem mula difahami dan diambil perhatian oleh semua golongan masyarakat. Bermula dari kerajaan sehinggalah pelajar sekolah, semuanya membicarakan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan salah satu kaedah adalah mengamalkan aktiviti kelestarian di sekitar kawasan kita.

UTM bertuah kerana mempunyai seorang Naib Canselor yang sangat mencintai alam sekitar. Pakar dalam bidang pengurusan air, beliau telah memperkenalkan pelbagai usaha dalam memastikan UTM menjadi sebuah kampus yang kondusif, sesuai dengan status UTM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan di negara ini. Antara usaha murni dalam menjayakan agenda kelestarian kampus ini ialah menyediakan basikal secara percuma kepada warga kampus. Berbasikal merupakan salah satu usaha terbaik dalam membantu mengurangkan pencemaran dan kesesakan di dalam kampus.

Paling menarik, beliau sendiri berbasikal ke sekitar kolej bagi melawat mahasiswa semasa Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM 2010/2011) walaupun kenderaan rasmi Perdana disediakan kepada beliau. Selain itu, jika mempunyai waktu lapang, beliau amat gemar berbasikal di sekitar kampus untuk melihat perkembangan dan kemudahan sambil bertanya khabar mahasiswa yang sedang beriadah.

Berlatarbelakangkan dengan tasik buatan manusia dan landskap yang tersusun indah, Tasik Ilmu sering menjadi tumpuan warga kampus bagi merehatkan minda selepas seharian menelaah mahupun bekerja. Pelbagai spesies tumbuhan tropila ditanam disekitar tasik tersebut dan dilingkari dengan sebuah trek jogging. Di suatu sudut, sebuah dek pemerhatian dan jambatan kayu menghubungkan antara dua kawasan disediakan.

Selain itu UTM masih mempunyai kawasan hutan sekunder yang luas dan masih belum dibangunkan sepenuhnya. Aktiviti lasak dan riadah seperti jungle tracking, paintball, wall climbing, flying fox dan sebagainya mungkin boleh dipertimbangkan di kawasan Hutan Rekreasi UTM. Kemudahan chalet ataupun tapak khemah yang lebih luas mungkin boleh disediakan untuk aktiviti mahasiswa mahupun pengunjung luar sekaligus menjana pendapatan sampingan kampus.

Sustainability Research Alliance (SUTRA UTM) http://web.utm.my/sutra/ misalnya merupakan sebuah unit yang dipertanggungjawabkan bagi menjayakan agenda kelestarian kampus ini. Selain itu agenda kelestarian kampus boleh dijayakan bersama melalui kerjasama mahasiswa terutamanya melalui Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan persatuan atau kumpulan Interest Group lain. Kesedaran dan kempen mengenai kepentingan kelestarian perlu dipergiatkan lagi. Pihak SUTRA, pusat-pusat kajian dan penyelidikan di dalam kampus juga sering menganjurkan pembentangan ciptaan dan perbincangan isu semasa mengenai kelestarian, adalah wajar mahasiwa mengambil peluang untuk menyertainya. Saya berharap pada suatu hari nanti UTM dapat menghasilkan sebuah rancangan strategi mungkin boleh dinamakan sebagai 'Pelan Strategi Kelestarian Kampus UTM' yang merangkumi pelbagai aspek dari pengurusan tenaga, tadbir urus, pengangkutan mampan dan sebagainya.

Mahasiswa boleh membantu dengan menyediakan kertas kerja cadangan dengan kajian lapangan tertentu sebagai sebahagian daripada assignment mereka. Misalnya menyediakan cadangan konsep park n ride dengan shuttle bus yang telah dilaksanakan di UKM wajar dipertimbangkan. Selain itu kita boleh mengurangkan penggunaan bahan yang sukar dilupuskan seperti beg plastik dan polistrin. Budaya malu membawa bekas makanan yang boleh diguna pakai semula harus dikikis. Seharusnya pujian dan penghargaan harus diberikan kepada pengusaha cafe yang tidak lagi menggunakan bekas polistrin dalam perniagaan mereka. (Termasuk pengusaha bazaar Ramadhan tahun ini). Mungkin pemilik kedai runcit atau koperasi juga boleh mempertimbangkan beg kertas atau beg kitar semula (dengan harga minimum) untuk digunapakai dalam urusan perniagaan mereka.

Selain itu saya juga ingin mencadangkan supaya persatuan atau kelab mengurangkan penggunaan banner konvensional sebaliknya mengoptimumkan penggunaan laman web UTM atau FB dalam mempromosikan aktiviti anjuran mereka. Mungkin suatu hari nanti, UTM boleh mempertimbangkan penggunaan skrin elektronik berskala besar (dijana dengan tenaga solar) untuk diletakkan di tempat strategi bagi menggantikan penggunaan banner sekarang. Polisi larangan membawa kenderaan mungkin juga boleh dinaikkan kepada tahun ke tiga dan keatas sahaja berbanding hanya tahun pertama pengajian sekarang.

Di peringkat kementerian, dalam perjumpaan Majlis Perundingan Mahasiswa Kebangsaan (MPPK) di ESSET KWSP, Bangi (4-6/8/2010) yang dihadiri oleh perwakilan MPP seluruh Malaysia bersama pihak KPT, saya turut mencadangkan supaya pihak KPT dapat merangka sebuah Dasar Kelestarian Kampus IPT Malaysia yang mana dasar tersebut boleh dijadikan garis panduan asas berkaitan pelaksanaan elemen kelestarian yang boleh diaamalkan di seluruh IPT Malaysia.

Diharapkan kita dapat bersama-sama dalam membantu menjayakan agenda pelestarian yang sedang berkembang ini. Seharusnya semua pihak mengambil perhatian mengenai kepentingan menjaga alam yang bukan sahaja urusan pihak berwajib namun oleh semua lapisan masyarakat.

Sekian.

Noor Aimran B. Samsudin
Setiausaha Agung MPM UTM

2 Ramadhan 1431

6.20am









Wednesday, July 7, 2010

Mandi bogel; filem kita makin melampau


Mandi bogel; filem kita makin melampau
Salam,

Tergerak tangan untuk menulis apabila terbaca sebuah laporan di akhbar..seorang pelakon di Malaysia berbogel bagi menjayakan sebuah babak sedang mandi dalam filem terbaru karya seorang penerbit tempatan. Lebih mengejutkan penerbit berkenaan menyatakan "kesediaannya berbuat demikian semata-mata kerana mahu menghayati watak berkenaan", seperti mana yang dilaporkan akhbar terbabit. Timbul persoalan disini, dimana nilai agama, moral & tatasusila pada para penerbit serta pengarah filem tempatan kita pada hari ini. Walaupun tidak semua penerbit filem pada hari ini sering melakukan pelbagai kontroversi dalam karya-karya mereka, kejadian terbaru seperti ini haruslah diambil perhatian oleh pihak berkenaan. Terma "kebebasan dalam berkarya" TIDAK boleh dijadikan lampu hijau bagi golongan artis, selibriti, penerbit filem, iklan atau sesiapa saja bagi melanggar hukum syarak, moral, adab dan akhlak.

Dalam konteks Malaysia, majoritinya adalah penganut agama Islam, dimana masyarakat kita masih mengamalkan gaya hidup Islam selain kaum-kaum lain yang masih mempunyai nilai moral yang tinggi. Seharusnya para penerbit filem di negara kita perlu memikirkan sesuatu karya yang lebih sesuai dengan gaya hidup di negara kita. Masyarakat kita bukan seperti di negara Eropah, malah amat jauh sekali.

Sungguh pelik dalam usaha negara membangunkan dan mendidik masyarakat berfikiran kelas pertama, kita dilonggokkan dengan cerita-cerita karut marut, dedah-mendedah dan pelbagai budaya hedonisme yang semakin menjadi-jadi. Tidak cukupkah dengan pelbagai kuman-kuman dan penyakit sosial yang sedang merebak sepantas H1N1 dalam masyarakat kini? Buang anak, berzina, merogol saudara kandung dan sebagainya. Sudah pasti kelak, jika filem ini ditayangkan kelak, golongan sasarannya ialah anak muda. Agaknya apa akan terjadi selepas anak muda yang berpasangan ke panggung wayang selepas menonton filem yang menggairahkan seperti ini?. Saya berpendapat sudah pasti sasaran golongan pendokong hedonisme seperti ini adalah suatu usaha licik, yang ingin terus menerus merosakan golongan muda di zaman ini.

Sudah tibanya, pihak kerajaan khususnya LPFM misalnya mengawal dan melarang penerbitan filem seumpa ini. Jika kini, pelakon secara terang dan bebas mengenakan pakaian sendat, menampakkan alur dada atau punggung mereka dalam filem tempatan, adakah kita ingin membiarkan adegan pasangan di atas katil juga akan ditanyangkan kepada masyarakat kita? Walau apa jua label perfileman yang digunakan kelak, sudah pasti filem seumpama ini menghina masyarakat kita..seolah-olah menggalakkan lagi masalah moral.

Saya mencadangkan supaya ditubuhkan suatu Suruhanjaya Perfileman di Malaysia dimana dibarisi oleh mereka yang arif dalam agama, budaya dan dunia perfileman itu sendiri. Diharapkan dengan penubuhan suruhanjaya tersebut dapat diisi oleh pemikir dan orang yang lebih berilmu supaya filem dan drama kita lebih berkualiti. Bukannya dilonggokkan dengan adegan-adegan murahan seperti mandi bogel, bercium dan berasmara. Saya juga mencadangkan pusat pengajian di Malaysia khususnya yang menawarkan program pengajian dunia perfileman menerapkan nilai-nilai murni dan agama dalam berkarya. Kita perlu melahirkan penerbit, pengarah, pelakon dan artis yang mempunyai ilmu pengetahuan, nilai dan berakhlak tinggi kerana zaman kini mereka sering dijadikan idola oleh anak muda.

"Hedonisme merosakkan masyarakat"









Monday, July 5, 2010

Rombongan Cik Kiah & berbasikal bersama NC



Salam Today..rombongan cik kiah telah ke Segamat bagi meraikan hari berbahagia Cik Nurazlin dari pejabat HEMA UTM yg kini kami kena panggil Puan! Beliau juga penasihat Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM. Eh takmoh tulis serius sangat..otak letih sikit hari nih..so little bit informal lah yeh.. :D

Mulanya pagi tuh kami main basikal dengan Dr. Zaini, our inspired NC UTM & others officer p round2 kolej2..tgok proses pendaftaran. Dengan menggunakan basikal berbakul (nampak comey, No. ECO 19) aku mengayuh ikut tht rombongan la..antara kolej KRP, KTR, KDOJ, KDSE & p minum pagi kat arked Meranti..(minum pagi? siap nasik berlauk sambal petai pergh). Then sambung berjalan kaki di laluan eco UTM (trek sebelah KRP). Lawatan berakhir di pintu gerbang UTM.


Dalam pukul 2pm kami bertolak dengan menaiki bas. MPM seramai 18 orang. TQ HEMA sebab sediakan bus utk kami p kenduri. Jauh jgak Segamat. 2jam plus minus. Mahu tak terkejut Cik Lin (Pn Lin) bila satu bus mai..hee.. sorry lah tak inform. Tapi nasik minyak dia memang mantop. Nak pulak tak rasa pecal (tuh pun selepas member bagitau nama sambal tuh). Mahu tak mau, malu tak malu..saya menambah 2kali..hahaha.


Tak cukup tuh aje..Cik Lin, suami beliau & family siap bagi 3 kotak beso yg penuh dgn door gift utk dshare dengan student2 UTM. Tocey2...terima kasih berbanyak ye. Takde gambar nk tunjuk..kamera bawak, memori kad pulak tertinggal. Terbaik lah!. Sampai aje UTM around 9.30pm, terus meeting bersama Ket. Operasi (KO) utk pergerakan MTM. Abeh meeting p KRP plak..tinjau2 sesi perkenalan MTM pd mahasiswa baru.


Pendek cerita. Hari yang padat, tulis kali nih pun sempoi..sebab penat. Esok pagi2 dah kena bangun..buat pertama kali mahasiswa baru UTM akan masuk ke DSI utk bersama NC UTM dlm acara perhimpunan bulanan beliau & sekali lagi mengayuh basikal berbakul ECO UTM utk lawatan gotong royong..YEAH!! Akhir kata.."jiwa kena besar, baru bahagia wat kerja"
.

Salam

Saya mengucapkan selamat datang ke semua Mahasiswa Baru 2010/2011 Universiti Teknologi Malaysia! Tahniah diucapkan anda adalah batch pertama selepas UTM bergelar Universiti Penyelidikan. Semoga kalian semua menjadi insan yang berjaya & berakhlak mulia.


Noor Aimran Samsudin
(Setiausaha Agung MPM UTM)

Wednesday, May 19, 2010

Dalam kenangan Pudu Jail


Tersentak saya apabila membaca sebuah artikel di surat akhbar yang menyatakan Pudu Jail yang siap dibina 1895 akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada sebuah projek komersial yang diusahan oleh UDA Holding. Bukit Bintang City Center bakal dibina di atas tapak penjara tersebut yang terletak berhampiran Berjaya Time Square di Jalan Hang Tuah. Pudu Jail kini telah ditutup pada 1996 dan banduan telah dipindahkan ke Penjara Sg. Buloh yang dibina oleh UDA bagi menggantikan tapak tersebut.

Struktur usang tersebut kini terbiar walaupun pada suatu ketika dahulu pernah dibuka kepada orang ramai sebagai muzium oleh Jabatan Penjara Malaysia yang menawarkan pameran bilik kurungan dan demonstrasi hukuman gantung yang pernah menggamit ribuan pengunjung ke situ. Ketika itu penulis masih bersekolah rendah dan terpaksa berasak dan beratur panjang bagi melihat dengan dekat akan suasana di dalam penjara. Sekali sekala ketika berkunjung ke kawasan Bukit Bintang lensa kamera milik penulis tidak pernah lupa menangkap beberapa gambar kenangan di sekitar kawasan tersebut. Namun apa yang mengecewakan penulis adalah kenyataan Pengarah Urusan UDA, Datuk Jaafar Abu Hassan yang menyatakan..



Adaka
h atas dasar tersebut semua bangunan warisan kita di seluruh negara wajar dirobohkan dan digantikan oleh pembangunan moden. Memang tidak dinafikan bahawa pembangunan BBCC bakal memberi pulangan yang lebih lumayan kepada UDA daripada sebuah tembok batu bata berkulat, namun alasan bangunan tersebut tidak disenaraikan dalam UNESCO menyebabkan tidak perlu dipertahankan adalah sesuatu yang tidak wajar. Pudu Jail juga telah menyumbangkan kepada pembinaan karektor di kawasan sekitar dalam dunia seni bina negara kita.

Mengapa tidak diusahakan sebuah usaha pembaikpulihan agar kompleks penjara berbentuk X tersebut dapat dikekalkan. Sektor pelancongan adalah yang terbaik untuk diusahakan seperti aktiviti heritage trail. BBCC yang masih diperingkat kelulusan pihak DBKL perlu mengambil kira Garis Panduan Pengekalan Bangunan Di Dalam Kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur, nilai sejarah & sentimental lain. Namun apakan daya bangunan seperti Pudu Jail untuk bertahan lama di era moden melawan tuntutan "pembangunan moden yang perlu mengorbankan warisan" seperti itu dan banyak lagi di kawasan lain. Deretan rumah kedai tradisional dan bangunan warisan lain kini semakin lama semakin berkurangan bagi memenuhi tuntutan pembangunan. Masyarakat kita sendiri seharusnya menyayangi warisan seni bina sendiri agar dapat dipertontonkan kepada generasi akan datang bukannya dengan hanya mengharapkan UNESCO semata-mata!


Penulis adalah Mahasiswa Tahun3
Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar & Wilayah
Fakulti Alam Bina, UTM

Thursday, April 22, 2010

Minda ligat


Minda ligat


Salam & sejahtera


Dalam minda ligat idea berlegar-legar. Terbiar. Rugi rasanya kalau tidak digunakan sebaik mungkin. Menghadapi minggu peperiksaan dan aktiviti harian yang tidak pernah jemu menjengah penulis. Alahamdulillah selesai sudah menjawab peperiksaan. Semester ke 7 & 8 bakal menjengah. Tahun ke-4 bakal dilalui dengan penulisan PSM. Minggu peperiksaan macam-macam cerita, lihat dan dengar. Ada lagi mahasiswa tidak percaya dengan keupayaan diri sendiri dengan meniru. Tunggang terbalik memikirkan jenis toyol nak bawak dalam dewan atau tandas! Orang lain tergolek-golek menelaah, kita sibuk tulis nota kecil untuk diletakkan dalam poket. Teori bijak pandai di alam kampus ada dua, pertama sila menelaah last minute sebab kita dah tahu soalan yang bakal keluar!. Kedua tak guna study awal, sebab nanti sampai hari exam kita lupa so baik kita study last minute, fresh katanya. Penulis dipelawa untuk mencuba teori mereka, satu semester jadi taruhan. Ada berani..?. Hargai ilmu seperti hargai nyawa. Paling tidak hargailah ilmu kita itu seperti duit anda sendiri.


Profesionalisme apa benda tuh? Pelik saja bunyinya. Kesian melihat rakan yang terpaksa menghadapi masalah disebabkan ketidakupayaan seorang insan bergelar professional. Apa nak buat? Kesian penulis melihat beliau menangis. Sebagai mahasiswa awak ada hak, jika gagal merayu pada beliau sila buat aduan pada pihak yang lebih tinggi dan berkuasa. Kualiti kerja awak memang hebat dan penulis yakin anda memang layak. Kalau tidak bagaimana dapat dean list setiap semester?. Dia ada masalah peribadi, biarkan. Kepada semua penjawat awam bekerjalah dengan sebaik mungkin, bertugas dengan penuh etika dan bertanggungjawab. Ini masalahnya apabila mencampur aduk urusan kerja dengan politik, masalah peribadi dan lain-lain. Time mengeteh kita sembang politik. Semoga perkhidmatan yang diberikan penjawat awam di negara kita semakin berkualiti pada suatu hari nanti.


“Oh tidak, ini bukan tugas saya. Sepatutnya tugas unit ini, jabatan ini..”. Menolak tanggungjawab kepada pihak tertentu memang senang. Melaksanakan tanggungjawab pula susah. Sepatutnya kita seharunya berusaha mencari usaha bukannya berusaha memikirkan alasan. Jika bertahun-tahun asyik “tolak-tolak” sampai bila nak ciap kerja?. Buatlah tugas yang diberikan seperti mana sesuai dengan bidang tugas dan skop kerja jabatan atau unit kita. Jika ada kelapangan apa salahnya keluar sedikit daripada bidang tugas dan kelaziman, membantu? Jangan kata nak membantu, kerja sedia ada pun beribu alasan. Jom kerja.


Isu-isu semasa?. Isu-isu yang sedang berlaku disekeliling anda. Buang anak, kahwin awal, pilihan raya kecil sehingga kisah budak menipu dengan gelaran kerabat diraja. Semuanya terpampang di media massa. Dikupas dan dibincang bersama di restoran mamak mahupun pejabat. Kepincangan institusi bekerluarga? Bagaimana perkara ini boleh menyumbang kepada masalah yang menyelubungi masyarakat kita. Ramai pemikir di negara kita runsing. Kita sedar? Kita peduli?. Ambil tahu dan mari bantu sama.


Setiap perkara yang berlaku disekeliling ada pengajaran dan moral yang boleh kita pelajari. Tinggal lagi hanya sejauh mana diri kita ingin mengambil peduli dan cakna. Tapi awas!. Jangan sampai ambil tahu sahaja. Tidak cukup. Sebaiknya ambil tahu dan ambil tindakan. Barulah cemerlang diri. Tak gitu?

Monday, March 22, 2010

Rasuah itu BUDAYA

Benarkah dakwaan bahawa industri pembinaan pada hari ini penuh dengan rasuah dan ketirisan intergriti..bermula dari peringkat perancangan sehinggalah suatu pembangunan itu siap sepenuhnya. Budaya memberi duit kopi/ duti pelincir seolah-olah suatu kemestian dalam memastikan kelangsungan sesebuah syarikat atau firma dalam industri pembinaan. Sama ada peringkat kelulusan projek mahupun membeli bahan-bahan binaan.. sejauh manakah perkara tersebut berlaku. Adakah esok lusa, apabila aku keluar dan berkecimpung dalam industri ini, aku dapat memelihara diri daripada terlibat secara langsung atau tidak dalam duit haram ini? Masih adakah insan-insan yang mampu memelihara diri daripada terlibat dalam hal seperti ini. Adakah aku juga perlu turut serta menyuap anak bini, dengan sumber wang yang haram? Adakah rasuah itu suatu BUDAYA yang mesti dilakukan dalam meneruskan KEHIDUPAN. Sedih melihat ada insan-insan yang bangga dengan hasil-hasi l seperti itu.

Friday, March 12, 2010

Aku PENDIDIK?

Aku PENDIDIK
Ada seperkara yang boleh dipelajari hari ini, dimana kita ingin meletakkan penghormatan pada seseorang yang layak mengikut statusnya namun perlakuannya pula tidak menggambarkan beliau patut diberi penghormatannya. Adakah dengan berlagak 'sekepala' kita akan diterima sekumpulan pihak? jawapannya TIDAK. Walau apa jua matlamat kita dalam segala urusan harian kita, tidak perlu seseorang itu mengorbankan sebuah nilai, kepercayaan malah prinsip hidup sendiri supaya dapat diterima oleh orang lain. Sebagai contoh, apabila kita diarahkan melakukan sesuatu yang tidak elok atau berfaedah oleh ketua kita, haruskah kita mengikut buta tuli walaupun kita mempunyai prinsip bahawa dengan melakukan perlakuan tersebut tidak mendatangkan manfaat apatah mendapat dosa.
Sejauh mana apabila timbul konflik dalam diri, kita dapat mempertahankan prinsip hidup tersebut? Kisah para sahabat yang diseksa kerana memelihara kesucian agama namun prinsip, kepercayaan mereka tetap terpelihara seharusnya menjadi tauladan. Dalam konteks alam kampus, barisan pendidik sewajarnya mempunyai karektor sebagai seorang pendidik. Tidak perlu terikut dengan jiwa muda walaupun kita sememangnya muda. Seharusnya kita perlu menampilkan imej yang lebih sihat, benar-benar cintakan ilmu dan suka sampaikan ilmu, bukannya mencari kesalahan atas tujuan mengaibkan muridnya. Seharusnya kita perlu menjadi pendidik yang hebat. Mungkin pelik bunyinya apabila anak murid menasihati gurunya..tapi itulah realiti dunia.
Saya percaya ramai pendidik yang benar-benar ikhlas dalam menyampaikan ilmu..dan saya kenal mereka. Namun sedikit sebanyak pengalaman hari ini membuka perspektif baru dalam pemikiran saya. Usah bercita-cita menggapai bintang, jika masih belum membuat roketnya..
Ayuh pendidik jom UBAH!
Ayuh mahasiswa jom RESPECT!

Monday, March 8, 2010

Motivasi


"menuju puncak kejayaan, berusaha dengan bersungguh-sungguh"

Seladang...

USR-FAB


6 Mac 2010, Kg. Kong Kong Laut-Seramai 150 mahasiswa dari Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia telah mengikuti program berasaskan khidmat masyarakat, University Social Responsibility-Faculty of Built Environment (USR-FAB). Program USR-FAB ini telah dianjurkan secara bersama Majlis Perwakilan Pelajar UTM (MPP UTM) bersama Persatuan Mahasiswa Perancang Bandar dan Wilayah (PEWIBAWA), Persatuan Arkitek (Architect), Persatuan Seni Bina Lanskap (Earth) dan Persatuan Juru Ukur Bahan (QS-Bina) dan telah mendapat kerjasama dari pihak Majlis Perbadaran Pasir Gudang (MPPG).


Program USR-FAB diadakan bagi menggalakkan mahasiswa UTM dengan kerja-kerja kemasyarakatan seperti gotong royong selain menerapkan pelbagai kemahiran insaniah dan nilai-nilai kelestarian dalam jiwa mahasiswa. Sek. Keb Kong Kong Laut, Pasir Gudang telah dipilih sebagai sekolah angkat USR-FAB bagi menjalankan aktivti tersebut.


Terdapat pelbagai aktivti telah dianjurkan sempena USR-FAB seperti mural, menanam pokok, memperhiaskan halaman sekolah dengan kerja-kerja lanskap, sukaneka, sesi motivasi dan sukaneka. Selain itu pelbagai sumbangan telah diterima oleh pasukan USR-FAB seperti sebilangan naskah Al Quran dan Yassin bagi kemudahan surau sekolah yang telah didermakan oleh Pusat Islam UTM, peralatan teknikal dari MPPG, pelbagai jenis hiasan tumbuhan dari Pusat Nurseri UTM serta sumbangan peribadi dari pelabagai pihak lain.


Pihak sekolah melalui Guru Besar iaitu En. Basir B. Hj. Konit turut menyusun sebuah lawatan ke kilang perusahaan kerepek serta aktiviti menyelusuri Sg. Johor dengan bot. Sesi sebelah petang telah dipenuhi dengan slot motivasi kecemerlangan yang disampaikan sendiri oleh pengarah program, Noor Aimran B Samsudin merangkap Setiausaha Agung MPP. Barisan fasilitator turut membantu menjayakan slot LDK bersama-sama pelajar sekolah. Di sebelah petang, acara sukaneka, perlawanan bola sepak antara USR-FAB dan belia tempatan telah mendapat sambutan meriah.


Antara acara yang dipertandingkan dalam sukaneka ialah tarik tali dan pelbagai permainan lain. Kehadiran penduduk kampung memeriahkan lagi aktiviti tersebut. Dalam perlawanan persahabatan bola sepak, pasukan USR-FAB telah tewas kepada pasukan belia tempatan sebanyak 3-1. Program USR-FAB turut disertai oleh mahasiswa antarabangsa yang menuntut di UTM iaitu dari Indonesia (1 orang), Kazakhstan (1 orang), dan Nigeria (2 orang).


Sepasukan petugas dari Jabatan Perkhidmatan Awam, Johor Bahru turut hadir berada di sekolah sepanjang hari sebagai langkah berjaga-jaga. Majlis penyampaian hadiah diadakan di sebalah petang manakala acara perasmian penutupan disempurnakan oleh Dekan Fakulti Alam Bina, Prof. Madya Dr. Ahmad Nazri B. Muhd. Ludin pada sebelah malam. Secara keseluruhan program USR-FAB telah mencapai matlamatnya selain dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mahasiswa dengan masyarakat setempat sekaligus memperkenalkan aktiviti kelestarian kepada mereka.

Disediakan oleh,


(NOOR AIMRAN B SAMSUDIN)

Pengarah,

USR-FAB 2010

*Setiausaha Agung MPP UTM Sesi 2009/2010