Thursday, December 30, 2010

Tiket yang dimamah ulat

Terminal Bas Stadium Bkt. Jalil, KL

TIKET YANG DIMAMAH ULAT

Apabila berbicara mengenai perkhidmatan bas ekspres di negara ini mungkin ramai yang akan mengeluh dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh beberapa syarikat dan pengusaha bas. Namun terdapat syarikat yang terus komited dan berkembang maju selari dengan perkhidmatan yang mereka sediakan kepada pengguna. Syarikat berskala besar dan mampu menawarkan pelbagai destinasi dengan kenderaan yang selesa dan selamat pasti menjadi pilihan utama para pengguna. Berbeza pula dengan syarikat kecil yang hanya mampu menawarkan beberapa perjalanan dan desitnasi sehari, ternyata berbeza. Syarikat bas ekspres seperti ini sering kali menggunakan perkhidmatan penjual tiket atau perayu (lebih dikenali sebagai ulat tiket) di hentian dan terminal bas bagi memastikan setiap trip penuh dengan penumpang. Penulisan pada kali ini akan mengupas isu ulat tiket.

Kegiatan ulat tiket ternyata sukar dibendung walaupun pelbagai tindakan dan usaha yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa. Namun pada pendapat penulis pihak PDRM, JPJ mahupun LPKP hanya melakukan operasi pembanterasan secara berkala iaitu pada musim perayaan, tidak pada hari kebiasaan yang ternyata samseng-samseng terminal ini terus berleluasa memeras, mengugut dan memaksa para pengguna membeli tiket daripada mereka. Sejauh manakah tahap keseriusan kita dalam membanteras operasi ulat tiket yang mengganggu para pengguna pengangkutan awam di Malaysia saban hari? Dalam usaha kerajaan menambahbaik sistem pengangkutan darat melalui penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), operasi penjualan tiket yang berkesan dan efektif juga perlu diambil kira selain menyediakan kenderaan yang selesa dan kemudahan infrastruktur seperti terminal pengakutan bersepadu.

Terminal Bas Stadium Bukit Jalil yang terletak di pinggir kota misalnya menawarkan destinasi ke arah Selatan negara. Terminal tersebut merupakan terminal sementara yang disediakan oleh pihak Uda Holding Berhad bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf Hentian Puduraya. Dari pemerhatian penulis, ternyata ulat-ulat tiket berleluasa tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa walaupun mereka menjalankan kegiatan di sebelah khemah pondok PDRM dan JPJ secara terang-terangan!. Ulat-ulat tiket akan menunggu dan menggangu penumpang mereka berhampiran stesen LRT dan sepanjang laluan berbumbung (LRT Stadium Bkt. Jalil-terminal bas). Penulis sendiri berpengalaman apabila dipaksa ulat tiket untuk membeli tiket bas syarikat mereka dan bersikap biadap apabila permintaan mereka ditolak.

Apabila sesuatu destinasi telah habis dijual pada sesuatu waktu, rata-rata ulat tiket ini akan berpakat sesama mereka melalui walkite talkie dan menjual tiket kosong pada harga KL-JB (RM35-RM40). Misalnya harga yang ditetapkan ialah KL-JB (RM31.20) sahaja. Apabila penumpang menunggu bas mereka, ternyata tiada bas disediakan. Sekiranya penumpang menuntut semula duit tambang, alasan yang seringkali digunakan ialah kenderaan rosak. Anda bertuah jika mereka bersetuju memulangkan duit anda, itu pun selepas bertikam lidah dengan ulat-ulat tiket, jika anda mengalah, mereka untung, anda rugi!. Pelbagai penipuan dan taktik bagi melariskan penjualan tiket mereka antaranya menunjukkan gambar bas ekspres yang digunakan serta jaminan ketibaan bas di platform pada waktunya. Namun sebaliknya bas yang disediakan adalah bas persiaran atau tambahan yang tidak sesuai untuk digunakan apatah lagi untuk destinasi yang jauh. Apek keselamatan dan keselesaan pengguna bukan tumpuan mereka, yang penting hanya keuntungan dan komisyen bagi setiap jualan tiket. Mereka akan memuatkan seramai mungkin penumpang walaupun bas sepatutnya telah bergerak sejam yang lalu!.

Pelbagai pendedahan telah dibuat oleh pihak media pada suatu masa dahulu, namun isu ini hanya timbul apabila tiba musim perayaan. Pada hari kebiasaan, ulat tiket akan terus mengganggu dan mewujudkan ketidakselesaan kepada para pengguna sekaligus memberi imej buruk kepada para pelancong terhadap sistem pengakutan negara kita. Kepada mereka yang kurang berkemampuan memiliki kenderaan persendirian akan terus menggunakan perkhidmatan bas ekspres sebagai pilihan. Persoalannya adakah ulat-ulat tiket tersebut tidak akan mengekori/ memaksa/ memeras ugut/ menipu serta berlaku biadap kepada para pengguna apabila operasi pengangkutan mula berpindah ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Selatan (SITT) di Bandar Tasik Selatan yang bernilai RM570 juta tersebut? Dimanakah pihak berkuasa kita? Tidak cukup dengan hanya menampal poster peringatan akan aktiviti ulat tiket namun tiada tindakan diambil terhadap mereka walaupun aktiviti mereka dijalankan di sebelah khemah penguatkuasa kita. Sebagai pengguna, jangan biarkan anda ditipu oleh ulat-ulat tiket. Gunakan kuasa pengguna anda dalam memilih syarikat bas ekspres yang menawarkan perkhidmatan berkualiti, selesa dan selamat.


Noor Aimran B Samsudin

Pengguna Bas Ekspres

Selasa, 28 Disember 2010

No comments:

Post a Comment

Sila komen.