Friday, August 13, 2010

Kelestarian Kampus : Suatu Pandangan Mahasiswa

Gambar : Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya

Kelestarian Kampus : Suatu Pandangan Mahasiswa

Kelestarian kampus merupakan salah satu usaha yang amat murni dalam usaha UTM ingin mencapai sebuah kampus yang bukan sahaja hebat dari segi hasil penyelidikan dan graduan yang berkualiti tinggi namun turut menawarkan sebuah ekosistem pusat pengajian tinggi yang menekankan amalan kelestarian dalam pelbagai aspek. Usaha murni ini haruslah disokong oleh para mahasiswa, tenaga pengajar, penyelidik malah semua warga kampus. Pelbagai program dan promosi telah dan akan dirancang bagi membantu menjayakan agenda kelestarian ini.

Saya melihat kesedaran mengenai kepentingan kelestarian sesebuah ekosistem mula difahami dan diambil perhatian oleh semua golongan masyarakat. Bermula dari kerajaan sehinggalah pelajar sekolah, semuanya membicarakan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan salah satu kaedah adalah mengamalkan aktiviti kelestarian di sekitar kawasan kita.

UTM bertuah kerana mempunyai seorang Naib Canselor yang sangat mencintai alam sekitar. Pakar dalam bidang pengurusan air, beliau telah memperkenalkan pelbagai usaha dalam memastikan UTM menjadi sebuah kampus yang kondusif, sesuai dengan status UTM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan di negara ini. Antara usaha murni dalam menjayakan agenda kelestarian kampus ini ialah menyediakan basikal secara percuma kepada warga kampus. Berbasikal merupakan salah satu usaha terbaik dalam membantu mengurangkan pencemaran dan kesesakan di dalam kampus.

Paling menarik, beliau sendiri berbasikal ke sekitar kolej bagi melawat mahasiswa semasa Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM 2010/2011) walaupun kenderaan rasmi Perdana disediakan kepada beliau. Selain itu, jika mempunyai waktu lapang, beliau amat gemar berbasikal di sekitar kampus untuk melihat perkembangan dan kemudahan sambil bertanya khabar mahasiswa yang sedang beriadah.

Berlatarbelakangkan dengan tasik buatan manusia dan landskap yang tersusun indah, Tasik Ilmu sering menjadi tumpuan warga kampus bagi merehatkan minda selepas seharian menelaah mahupun bekerja. Pelbagai spesies tumbuhan tropila ditanam disekitar tasik tersebut dan dilingkari dengan sebuah trek jogging. Di suatu sudut, sebuah dek pemerhatian dan jambatan kayu menghubungkan antara dua kawasan disediakan.

Selain itu UTM masih mempunyai kawasan hutan sekunder yang luas dan masih belum dibangunkan sepenuhnya. Aktiviti lasak dan riadah seperti jungle tracking, paintball, wall climbing, flying fox dan sebagainya mungkin boleh dipertimbangkan di kawasan Hutan Rekreasi UTM. Kemudahan chalet ataupun tapak khemah yang lebih luas mungkin boleh disediakan untuk aktiviti mahasiswa mahupun pengunjung luar sekaligus menjana pendapatan sampingan kampus.

Sustainability Research Alliance (SUTRA UTM) http://web.utm.my/sutra/ misalnya merupakan sebuah unit yang dipertanggungjawabkan bagi menjayakan agenda kelestarian kampus ini. Selain itu agenda kelestarian kampus boleh dijayakan bersama melalui kerjasama mahasiswa terutamanya melalui Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan persatuan atau kumpulan Interest Group lain. Kesedaran dan kempen mengenai kepentingan kelestarian perlu dipergiatkan lagi. Pihak SUTRA, pusat-pusat kajian dan penyelidikan di dalam kampus juga sering menganjurkan pembentangan ciptaan dan perbincangan isu semasa mengenai kelestarian, adalah wajar mahasiwa mengambil peluang untuk menyertainya. Saya berharap pada suatu hari nanti UTM dapat menghasilkan sebuah rancangan strategi mungkin boleh dinamakan sebagai 'Pelan Strategi Kelestarian Kampus UTM' yang merangkumi pelbagai aspek dari pengurusan tenaga, tadbir urus, pengangkutan mampan dan sebagainya.

Mahasiswa boleh membantu dengan menyediakan kertas kerja cadangan dengan kajian lapangan tertentu sebagai sebahagian daripada assignment mereka. Misalnya menyediakan cadangan konsep park n ride dengan shuttle bus yang telah dilaksanakan di UKM wajar dipertimbangkan. Selain itu kita boleh mengurangkan penggunaan bahan yang sukar dilupuskan seperti beg plastik dan polistrin. Budaya malu membawa bekas makanan yang boleh diguna pakai semula harus dikikis. Seharusnya pujian dan penghargaan harus diberikan kepada pengusaha cafe yang tidak lagi menggunakan bekas polistrin dalam perniagaan mereka. (Termasuk pengusaha bazaar Ramadhan tahun ini). Mungkin pemilik kedai runcit atau koperasi juga boleh mempertimbangkan beg kertas atau beg kitar semula (dengan harga minimum) untuk digunapakai dalam urusan perniagaan mereka.

Selain itu saya juga ingin mencadangkan supaya persatuan atau kelab mengurangkan penggunaan banner konvensional sebaliknya mengoptimumkan penggunaan laman web UTM atau FB dalam mempromosikan aktiviti anjuran mereka. Mungkin suatu hari nanti, UTM boleh mempertimbangkan penggunaan skrin elektronik berskala besar (dijana dengan tenaga solar) untuk diletakkan di tempat strategi bagi menggantikan penggunaan banner sekarang. Polisi larangan membawa kenderaan mungkin juga boleh dinaikkan kepada tahun ke tiga dan keatas sahaja berbanding hanya tahun pertama pengajian sekarang.

Di peringkat kementerian, dalam perjumpaan Majlis Perundingan Mahasiswa Kebangsaan (MPPK) di ESSET KWSP, Bangi (4-6/8/2010) yang dihadiri oleh perwakilan MPP seluruh Malaysia bersama pihak KPT, saya turut mencadangkan supaya pihak KPT dapat merangka sebuah Dasar Kelestarian Kampus IPT Malaysia yang mana dasar tersebut boleh dijadikan garis panduan asas berkaitan pelaksanaan elemen kelestarian yang boleh diaamalkan di seluruh IPT Malaysia.

Diharapkan kita dapat bersama-sama dalam membantu menjayakan agenda pelestarian yang sedang berkembang ini. Seharusnya semua pihak mengambil perhatian mengenai kepentingan menjaga alam yang bukan sahaja urusan pihak berwajib namun oleh semua lapisan masyarakat.

Sekian.

Noor Aimran B. Samsudin
Setiausaha Agung MPM UTM

2 Ramadhan 1431

6.20am









No comments:

Post a Comment

Sila komen.

Post a Comment