Monday, July 5, 2010
Rombongan Cik Kiah & berbasikal bersama NC
Mulanya pagi tuh kami main basikal dengan Dr. Zaini, our inspired NC UTM & others officer p round2 kolej2..tgok proses pendaftaran. Dengan menggunakan basikal berbakul (nampak comey, No. ECO 19) aku mengayuh ikut tht rombongan la..antara kolej KRP, KTR, KDOJ, KDSE & p minum pagi kat arked Meranti..(minum pagi? siap nasik berlauk sambal petai pergh). Then sambung berjalan kaki di laluan eco UTM (trek sebelah KRP). Lawatan berakhir di pintu gerbang UTM.
Dalam pukul 2pm kami bertolak dengan menaiki bas. MPM seramai 18 orang. TQ HEMA sebab sediakan bus utk kami p kenduri. Jauh jgak Segamat. 2jam plus minus. Mahu tak terkejut Cik Lin (Pn Lin) bila satu bus mai..hee.. sorry lah tak inform. Tapi nasik minyak dia memang mantop. Nak pulak tak rasa pecal (tuh pun selepas member bagitau nama sambal tuh). Mahu tak mau, malu tak malu..saya menambah 2kali..hahaha.
Tak cukup tuh aje..Cik Lin, suami beliau & family siap bagi 3 kotak beso yg penuh dgn door gift utk dshare dengan student2 UTM. Tocey2...terima kasih berbanyak ye. Takde gambar nk tunjuk..kamera bawak, memori kad pulak tertinggal. Terbaik lah!. Sampai aje UTM around 9.30pm, terus meeting bersama Ket. Operasi (KO) utk pergerakan MTM. Abeh meeting p KRP plak..tinjau2 sesi perkenalan MTM pd mahasiswa baru.
Pendek cerita. Hari yang padat, tulis kali nih pun sempoi..sebab penat. Esok pagi2 dah kena bangun..buat pertama kali mahasiswa baru UTM akan masuk ke DSI utk bersama NC UTM dlm acara perhimpunan bulanan beliau & sekali lagi mengayuh basikal berbakul ECO UTM utk lawatan gotong royong..YEAH!! Akhir kata.."jiwa kena besar, baru bahagia wat kerja".
Monday, March 8, 2010
USR-FAB
6 Mac 2010, Kg. Kong Kong Laut-Seramai 150 mahasiswa dari Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia telah mengikuti program berasaskan khidmat masyarakat, University Social Responsibility-Faculty of Built Environment (USR-FAB). Program USR-FAB ini telah dianjurkan secara bersama Majlis Perwakilan Pelajar UTM (MPP UTM) bersama Persatuan Mahasiswa Perancang Bandar dan Wilayah (PEWIBAWA), Persatuan Arkitek (Architect), Persatuan Seni Bina Lanskap (Earth) dan Persatuan Juru Ukur Bahan (QS-Bina) dan telah mendapat kerjasama dari pihak Majlis Perbadaran Pasir Gudang (MPPG).
Program USR-FAB diadakan bagi menggalakkan mahasiswa UTM dengan kerja-kerja kemasyarakatan seperti gotong royong selain menerapkan pelbagai kemahiran insaniah dan nilai-nilai kelestarian dalam jiwa mahasiswa. Sek. Keb Kong Kong Laut, Pasir Gudang telah dipilih sebagai sekolah angkat USR-FAB bagi menjalankan aktivti tersebut.
Terdapat pelbagai aktivti telah dianjurkan sempena USR-FAB seperti mural, menanam pokok, memperhiaskan halaman sekolah dengan kerja-kerja lanskap, sukaneka, sesi motivasi dan sukaneka. Selain itu pelbagai sumbangan telah diterima oleh pasukan USR-FAB seperti sebilangan naskah Al Quran dan Yassin bagi kemudahan surau sekolah yang telah didermakan oleh Pusat Islam UTM, peralatan teknikal dari MPPG, pelbagai jenis hiasan tumbuhan dari Pusat Nurseri UTM serta sumbangan peribadi dari pelabagai pihak lain.
Pihak sekolah melalui Guru Besar iaitu En. Basir B. Hj. Konit turut menyusun sebuah lawatan ke kilang perusahaan kerepek serta aktiviti menyelusuri Sg. Johor dengan bot. Sesi sebelah petang telah dipenuhi dengan slot motivasi kecemerlangan yang disampaikan sendiri oleh pengarah program, Noor Aimran B Samsudin merangkap Setiausaha Agung MPP. Barisan fasilitator turut membantu menjayakan slot LDK bersama-sama pelajar sekolah. Di sebelah petang, acara sukaneka, perlawanan bola sepak antara USR-FAB dan belia tempatan telah mendapat sambutan meriah.
Antara acara yang dipertandingkan dalam sukaneka ialah tarik tali dan pelbagai permainan lain. Kehadiran penduduk kampung memeriahkan lagi aktiviti tersebut. Dalam perlawanan persahabatan bola sepak, pasukan USR-FAB telah tewas kepada pasukan belia tempatan sebanyak 3-1. Program USR-FAB turut disertai oleh mahasiswa antarabangsa yang menuntut di UTM iaitu dari Indonesia (1 orang), Kazakhstan (1 orang), dan Nigeria (2 orang).
Sepasukan petugas dari Jabatan Perkhidmatan Awam, Johor Bahru turut hadir berada di sekolah sepanjang hari sebagai langkah berjaga-jaga. Majlis penyampaian hadiah diadakan di sebalah petang manakala acara perasmian penutupan disempurnakan oleh Dekan Fakulti Alam Bina, Prof. Madya Dr. Ahmad Nazri B. Muhd. Ludin pada sebelah malam. Secara keseluruhan program USR-FAB telah mencapai matlamatnya selain dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mahasiswa dengan masyarakat setempat sekaligus memperkenalkan aktiviti kelestarian kepada mereka.
Disediakan oleh,
(NOOR AIMRAN B SAMSUDIN)
Pengarah,
USR-FAB 2010
Friday, January 1, 2010
Sekilas 2009 #1
Friday, December 25, 2009
next aktiviti is..
- 19/12- MC Forum Memperkasa Jati Diri Graduan (YB Dato' Mukhriz)
- 25/12- Welcoming Dinner MASKUM, de Tropica, UTM
- 28/12- Site Visit at KEJORA, Johor
- 29/12- AGM PEWIBAWA, FAB
- 2/1- MC Majlis Perasmian Persatuan Ank Ngeri Terngganu (YB Ahmad Said), UTM
- 3/1- 1 day Singapore trip
- 8-15/1- Pilihan Raya Kampus MPP Sesi 2009/2010, UTM
- 6/2- Makan malam SUTRA, KRP
- 18-24/2- International Student Leader Conference 2010-Pen. Timb Pengarah Pengurusan
- 24-28/2- Taman Negara, Pahang- Observation & Survey Camp
Tuesday, December 15, 2009
Catatan peribadi X-UK #5
JUMAAT (27/11/2009) – Paris
Takbir di pagi raya terus bergema. Sedikit berasa kelainan kerana buat pertama kali beraya di perantauan. Hari Raya Aidiladha disambut secara ringkas. Awal pagi, kami hanya menikmati serunding, nasi impit, mee segera sebagai jamuan raya. Makan bersama-sama mengubati rindu kampung halaman barangkali. Di dalam perjalanan ke stesen keretaapi, kami sempat bertakbir bersama dalam bas. Di stesen tersebut sekali lagi kami melalui pemeriksaan imigresen sebelum meneruskan perjalanan ke Paris dengan menaiki Eurostar (keretapi berkelajuan peluru). Perjalanan ke Paris mengambil masa sekitar 3jam dari Stesen St. Pancras International dengan kelajuan sekitar 180 km/j. Telinga berasa sedikit sakit kerana tekanan udara yang dihadapi sewaktu keretapi meluncur laju di dalam terowong. Perjalanan dari London ke Paris memerlukan tren berkelajuan tinggi tersebut melalui terowong Selat Inggeris selama 20minit. London ditinggalkan dengan penuh kenangan dan Paris mengalukan ketibaan kami.
Sebaik keluar dari terminal kami terus melawat sekitar kota Paris. Tidak jauh dari stesen kereta api, terdapat sebuah kawasan yang didiami oleh golongan miskin, tidak berumah (homeless) dan agak kotor. Suasana di Paris agak berbeza jika dibandingkan dengan London yang lebih teratur. Walaubagaimanapun bangunan lama turut menjadi identiti Paris. Moulin Rouge iaitu sebuah bangunan yang menempatkan pentas tarian terkenal mereka menjadi tumpuan pengunjung. Kawasan itu tidak ubah seperti di Lorong Hj. Taib yang terkenal dengan aktiviti tidak sihat, pelacuran. Malah pelacur dipamerkan dalam cermin seperti barang pameran!. Di kawasan tengah bandar, suasana lebih baik. Keindahan bangunan dengan patung dan arca di merata tempat. Tiang-tiang besar bercirikan Rom menjadi tarikan pelancong. Kami dibawa membeli belah di Galeries Lafayette tidak ubah seperti kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur (Bukit Bintang-KLCC), kawasan mewah yang menawarkan pelbagai jenis butik pakaian. Melihat telatah kutu rayau yang meniaga buah berangan dengan troli pasaraya di hadapan kompleks membeli belah terkemuka tersebut menarik perhatian.
Dari perhatian, masyarakat di sini terdiri daripada pelbagai bangsa. Tidak susah untuk bertemu dengan orang Muslim di tengah kesibukan kota Paris, kota yang terkenal dengan unsur romantis seperti yang diperjelaskan oleh ejen kami. Seterusnya kami dibawa menyelusuri Sg. Seine selama satu jam. Sepanjang menerusi sungai tersebut kami disajikan pemandangan Eifel Tower yang terkenal tersebut. Deretan bangunan lama masih utuh malah tidak ada satu pun bangunan moden didirikan di tebing sungai bagi menjaga keaslian identiti kota Paris. Sungai tersebut cukup bersih dan tidak berbau. Beberapa buah bot pelancong yang dijadikan café terapung dan kediaman berlabuh di tepian sungai. Kita juga mempunyai tarikan seperti itu di Sungai Melaka dengan aktiviti River Cruise menyelusuri bandar Melaka. Panorama malam semakin menarik dengan hiasan lampu berwarna warni pada bangunan di Paris.
Sebelah malam, kami berpeluang singgah di rumah kediaman salah seorang pegawai Kedutaan Malaysia yang juga pakcik kepada Saudara Faiz. Di sana kami berpeluang menikmati jamuan hari raya bersama beberapa pegawai termasuk dari Kedutaan Malaysia, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), UNESCO (Sains & Teknologi), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pelajar-pelajar Malaysia dan masyarakat tempatan. Saudara Abd. Hadi merangkap Yang Dipertua MPP juga turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan penghargaan atas layanan yang diberikan kepada peserta X-UK pada malam tersebut.
Sunday, December 13, 2009
Catatan peribadi X-UK #4
Seawal jam 0830 lagi, kami telah berkumpul untuk meneruskan program X-UK ke University of Oxford. Lawatan pada hari tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Prof. Dr. Mohd Tajudin B. Ninggal, Timbalan Naib Cancelor HEP & Alumni, UTM yang turut serta dalam lawatan ke University of Oxford. Universiti tersebut tidak kurang hebatnya seperti mana di Cambridge. Panorama di sana tidak banyak perbezaannya, bangunan batu bata yang tidak bercat, menara gereja di merata tempat. Cuma jalannya lebih luas dan lebih banyak kawasan lapang atau dataran terbuka. Di kiri dan kanan deretan bangunan lama maish berdiri teguh , dimana setiap fasad bangunan adalah berbeza reka bentuknya. Dari pemerhatian saya, tidak ada satu bangunan mempunyai reka bentuk sama. Selain berkesempatan melawat muzium yang menempatkan artifak dari pelbagai tamadun dunia termasuk mumia. Pelancong turut dibenarkan membawa kamera merakam gambar. Kami turut bertemu sekumpulan pelajar sekolah rendah yang kusyuk mendengar kuliah dari guru mereka. Selain itu yang menariknya, mereka diberikan tugasan tertentu yang perlu disiapkan. Saya sempat berkenalan dan melihat hasil kerja mereka termasuk melukis arca yang dilihat dan bakal dijadikan poskad khas oleh muzium!. Proses pembelajaran seperti itu pada pendapat saya sangat baik untuk dipraktiskan di Malaysia supaya para pelajar tidak berasa jemu menghabiskan masa pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas sebaliknya beberapa siri lawatan sambil belajar perlu diatur. Pada usia yang muda, mereka telah didedahkan dengan sejarah tamadun dunia, bukan sahaja dengan pembacaan buku sejarah malah melihat secara dekat arca dan pelbagai artifak. Kami turut dibantu 2 pelajar Malaysia yang menuntut di Oxford iaitu Saudari Alia dan Zetty bersama-sama membantu kami melawat sekitar University of Oxford yang juga rakan kepada Saudari Nurul Asyikin (pengarah program).
Pemandangan di sekitar Oxford sangat mengagumkan. Di hadapan bangunan Christ Church terdapat sebuah padang ragut menghijau yang sangat luas. Beberapa ekor lembu berbulu seperti biri-biri (sesuai dengan cuaca tempatan) sedang berehat berhampiran pagar. Selain itu terdapat sebatang sungai kecil. Terdapat beberapa ekor itik berenang menghampiri kami walaupun daun kering dihulur. Bersih dan suasana sekeliling begitu nyaman ditambah cuaca yang agak baik. Jalan tidak berturap dan berbatu halus di hadapan bangunan tersebut menghubungkan ke beberapa kawasan yang lain. Begitulah keadaan kampus Oxford, sepanjang perjalanan tidak pula terjumpa sampah, walau pembalut gula-gula. Graduan bersilih ganti, usia bangunan terus bertambah, persekitaran terus dipelihara.
Bayaran dikenakan sebanyak 4pound untuk melawat Chirst Church. Selain menempatkan bilik tempat perbincangan, terdapat sebuah dewan makan istimewa yang menjadi pilihan latarbelakang sebuah filem yang di adaptasikan dari sebuah novel, Harry Porter. Kami difahamkan Saudari Alia dan Zetty, bangunan tersebut digunakan oleh pelajar elit, terdiri daripada golongan bangsawan seluruh dunia. Mereka diasingkan dan menikmati pelbagai kemudahan, termasuk jalan khas supaya tidak bertembung dengan pelajar biasa. Dewan makan yang tersusun rapi dengan pinggan mangkuk dan meja memanjang, kemas tersusun. Cermin berwarna-warni membenarkan cahaya matahari memasuki dewan. Kemasan kayu pada dinding jelas menunjukkan kemasyuran dalam melahirkan graduan dan tokoh-tokoh dunia. Gambar-gambar berbingkai, bekas graduan mereka yang terkenal melekat kemas di dinding. Mereka amat menghargai nilai seni dan sejarah. Difahamkan oleh Custodians (pengawal yang menjaga dan membantu para pelancong), terdapat kira-kira 500 pelajar elit yang sedang mengikuti pengajian. Loceng akan bergema di Oxford mengikut waktu tertentu termasuk waktu makan mereka dan pelawat tidak dibenarkan memasuki dewan tersebut!.
Friday, December 11, 2009
Catatan peribadi X-UK #3
RABU (25/11/2009) – Cambridge
University of Cambridge telah menjangkau usia 800 tahun. Kami disambut oleh deretan bangunan lama dan sebatang sungai yang sangat bersih. Perletakan fakulti di universiti termasyur tersebut sangat berbeza dengan universiti tempatan di negara kita. University of Cambridge terdiri daripada beberapa buah kolej yang menawarkan pelbagai bidang pengajian dan terletak di tengah-tengah masyarakat. Tanpa sebarang pagar, yang memisahkan kawasan kampus, pelajar dan masyarakat tinggal bersama. Semasa kami tiba, para pelajar berduyun-duyun ke kolej masing-masing. Pengangkutan utama adalah basikal dan bas. Difahamkan, caj tertentu dikenakan jika membawa kenderaan masuk ke dalam kawasan kampus. Oleh sebab itu, pelajar mereka lebih gemar mengayuh basikal dengan sangat laju!. Mungkin tidak mahu lewat ke kuliah. Dimana-mana saya dapat melihat deretan basikal disandar pada dinding bangunan yang kelihatan uzur. Malah jika diperhatikan beberapa gereja juga turut dijadikan fakulti.
Di Trumpington Street, kami meluangkan waktu melawat Fitzwilliam Musuem yang menempatkan pelbagai jenis pameran. Saya juga berpeluang menemui sebuah kereta keluaran Proton, model Satria di sana.
Di waktu luang saya mengambil peluang untuk menjelajah sehingga Lensfield Road yang menempatkan Roman Catholic Church dan Scott Polar Research Institute. Dengan perletakan secara berselerak, adalah sukar untuk mencari fakulti atau jabatan pengajian mereka kerana hanya papan tanda kecil saja dilekatkan pada dinding bangunan. Universiti tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan pelajar dari seluruh dunia malah ribuan pelancong. Suasana disana sangat memberangsangkan dengan udara nyaman, tiada kesesakan trafik, pelajar berulang alik dengan basikal dan pemandangan yang sangat indah. Malah. mantan Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj turut pernah belajar di salah sebuah kolej iaitu Kolej St Catharine. Berhampiran kawasan kolej tersebut sebuah kawasan lapang yang dikelilingi bangunan dan sebuah kolam air pancut menempatkan pasar awam iaitu Market Square. Di pasar tersebut tidak ubah seperti pasar tani di negara kita. Pelbagai sayuran, buah-buahan, pakaian, buku terpakai dan barang hiasan ditawarkan pada harga rendah.
Seterusnya kami ke Library University of Cambridge melalui jalan West Road. Malangnya di bangunan tersebut, pelawat hanya dibenarkan melawat di sebuah galeri kecil yang menempatkan beberapa pameran. Disebelah pintu masuk bangunan, kami mengambil kesempatan menunaikan solat dan makan bekalan makanan yang dibawa, serunding bersama roti. Seharian di University of Cambridge, kami ke hotel Webley Plaza yang berlatarbelakangkan Stadium Webley untuk menginap selama 2 hari berikutnya.
Wednesday, December 9, 2009
Catatan peribadi X-UK #2
SELASA (24/11/2009) –pusat bandar
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow London, saya agak terkejut dengan keadaan lapangan terbang yang agak uzur (jika dibandingkan Abu Dhabi dan KLIA) dan dipenuhi oleh wajah manusia dari pelbagai negara. Walaubagaimanapun lapangan tersebut merupakan antara lapangan terbang tersibuk di dunia. Sebelum mendarat pesawat kami terpaksa melakukan pusingan beberapa kali di udara sebelum mendapat kebenaran oleh pusat kawalan udara Heatrow. Antara soalan yang ditanya oleh pegawai sebaik sahaja tiba giliran ialah “adakah anda membawa dadah?” dan “adakah anda membawa bahan membahaya?” dengan nada tegas. Begitulah keadaan sebuah kota metropolitan dunia yang sentiasa mencurigai dan berwaspada berkenaan hal keselamatan selepas tragedi 9/11. Beberapa bekalan makanan peserta turut dirampas seperti makanan dalam tin. Hampir semua peserta membawa 2 buah bagasi yang digunakan untuk mengisi makanan dan pakaian secukupnya. Semua persoalan dijawab dengan tenang kerana Pn. Jasmine terlebih dahulu menerangkan situasi yang bakal ditempuhi di sana. Sekali lagi kami terpaksa bersolat Subuh di sebuah sudut kecil tempat pengambilan beg, kerana ketiadaan bilik khas untuk bersolat dan masa yang sangat terhad.
Sebuah bas sewa khas telah sedia menunggu di luar terminal. Seringkali kami diingatkan mengenai ketetapan waktu di Kota London tersebut. Jika anda lewat, maka anda akan ditinggalkan. Pada pemerhatian saya sepanjang program, masyarakat di London sangat mengambil berat mengenai ketepatan waktu. Ini dapat dilihat pada perkhidmatan pengangkutan awam mereka. Setiap perhentian bas mereka mempunyai papan pemuka elektronik menunjukan waktu bas yang bakal tiba. Kota London menyambut kami dengan deruan angin sejuk pada suhu sekitar 9 darjah celcius. Dari dalam bas yang dipandu oleh pemandu yang sentiasa tersenyum dan memakai kot serta bertali leher. Kesesakan tidak ubah seperti di ibu kota Kuala Lumpur. Disebelah kiri dan kanan dihiasi oleh kawasan kediaman yang diperbuat daripada batu bata serta serombong asap pada bumbung rumah. Beberapa kawasan padang rumput hijau terbentang luas di kiri dan kanan.
Di London, kami dibawa melawati beberapa kawasan utama. Dari dalam bas kami diberikan taklimat oleh pemandu arah tempatan yang turut menyertai lawatan sehari tersebut. Kami turut singgah di beberapa kawasan pemerhatian yang menawarkan pemandangan Big Ben, Parliament dan London Bridge. Kelihatan juga sebuah Roda Ferris London Eye antara yang terbesar di dunia selepas dikalahkan Eye On Singapore. Struktur tersebut menempatkan gondola yang cukup besar kepada pengunjung yang ingin melihat pemandangan indah kota London dari udara. Lensa kamera terus merakamkan pemandangan indah akan keunikan fasad bangunan yang masih utuh hingga kini. Mereka begitu memelihara bangunan lama melalui aktiviti conservation (pemuliharaan). Negara kita turut mempunyai banyak bangunan lama yang bersejarah. Usaha pemuliharaan masih perlu dipertingkatkan melalui peruntukan perundangan sedia ada agar generasi akan datang dapat melihat hasil seni bina. Seni bina membentuk identiti, karektor dan imej sesuatu bandar. Bukan sahaja ukiran, arca, patung dan monumen sesuatu bandar tersebut memainkan peranan, malah aktiviti di dalam bandar juga memainkan peranan membentuk suatu ‘pengenalan’ kepada pelancong. Misalnya, London terkenal dengan “Double Decker” merah dan teksi lama (difahamkan warna asal ialah hitam).
Di tepi Sg Themes, kami turut berpeluang melihat struktur kapal perang HMS Belfast yang kini telah dijadikan muzium. Kemudian kami bersiar di sekitar Oxford Street yang menempatkan pelbagai pusat komersial dan pusat membeli belah seperti Marks & Spenser. Di tengah kesibukan manusia kami sempat singah di beberapa buah kedai yang menawarkan pelbagai barangan cenderamata beridentitikan London pada kadar “berpatutan”, iaitu kira-kira 6 kali ganda nilai di Malaysia. Jika di Malaysia terkenal dengan Giant, di London iaitu Marks & Spenser turut menjual pelbagai jenis barangan termasuk makanan, barangan dapur, pakaian dan sebagainya. Buah epal dan air mineral menjadi pilihan. Menariknya saya dikenakan caj beberapa sen kerana tidak membawa beg membeli belah sendiri. Begitulah masyarakat mereka dididik untuk melestarikan alam sekitar. Namun di Malaysia nampaknya beberapa pihak mula melakukan perkara sama, pembeli digalakkan untuk membeli beg mesra alam yang boleh digunakan berulang kali, sekali gus mengurangkan penggunaan beg plastik konvensional. Kampus kita juga boleh melakukan perkara sama dalam membantu mengwujudkan alam yang lebih sihat dengan mengurangkan penggunaan bahan polistrin atau plastik.