Tuesday, December 29, 2009

Pemimpin yang berkualiti dilahirkan dalam suasana yang berkualiti

Ditulis oleh : Noor Aimran Bin Samsudin

Tahun 2010 bakal menyaksikan persaingan yang agak sengit dalam Pilihan Raya Kampus (RPK). Ini bukanlah suatu yang pelik jika hendak dibandingkan dengan PRK di kampus utama di seluruh Malaysia, terutamanya di universiti yang telah lama ditubuhkan. Dari PRK jugalah lahirnya beberapa tokoh-tokoh pemimpin yang telah, sedang dan akan memimpin negara. Namun persaingan yang dikatakan sengit pada sesetengah pihak ini bukanlah dari aspek penonjolan kemahiran kepimpinan masing-masing seperti kemahiran berpidato dan sebagainya, malangnya lebih kepada kemahiran membuat provokasi yang tidak berasas antara satu sama lain. Pihak A mendakwa mereka adalah itu dan ini manakala pihak B pula menafikannya lalu membalasnya pula dengan provokasi tertentu. Maka berlakulah saling tuduh menuduh, timbulnya perasaan tidak puas hati, tidak percaya antara satu sama lain, menulis di laman-laman maya dengan kata-kata nista dan menjijikan yang saling keji-mengeji antara satu sama lain, bagi saya tidak layak langsung digelar sebagai mahasiswa di abad ini!


Mana mungkin kita hendak samakan politik di luar sana. Lihatlah apa yang ditonjolkan pemimpin kita tak kira lah dari parti mana pun, tidak lebih tidak kurang hanya bercakaran di sebuah dewan yang sepatutnya digunakan untuk membincangkan perihal keperluan rakyat. Dakwaan ini, berasaskan apa yang dilaporkan di media-media massa sekarang. Laporan saban hari dari media sama ada arus perdana atau alternatif yang saling menunjukkan kelemahan, kesilapan, keburukan, dan keaiban para pemimpin kita. Malangnya apa yang diperjuangkan, diusahakan, dikerjakan oleh para pemimpin gagal ditonjolkan lalu mencipta suatu perspektif bahawa itulah dunia politik yang asyik bercakaran lalu menidakkan peranan sebenar pemimpin mereka. Apatah lagi dari dunia politik Islam. Saya yakin masih ada mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan kebajikan rakyat namun seringkali tidak mendapat peluang, atau ditutupi oleh cerita-cerita yang mengarut dan langsung tidak masuk akal seperti YB berkahwin dengan artis, YB ini suruh letak jawatan dan sebagainya.


Inilah yang saya perhatikan sudah mula dibawa masuk ke dalam pemikiran mahasiswa kita. Mengapa perangai, sifat dan keperibadian yang buruk itu hendak dimasukkan dalam pemikiran kita? Sedangkan kita sebagai golongan yang dikatakan cerdik pandai oleh masyarakat melakukan perkara sama seperti mana yang telah dilakukan oleh pemimpin kita di luar sana? Mengapa tidak kita mempelajari perkara-perkara yang lebih baik? Saya sedikit kecewa apabila ditanyakan pendapat kepada golongan tertentu ini, mengapa perlu dilakukan semua ini dalam PRK kita? Katanya tanpa serangan provokasi ini maka tak meriah lah suasananya. Apa yang meriahnya kalau keperibadian seseorang itu diserang? Cacian dan makian dengan perkataan nista berpanjangan? Tuduh menuduh antara satu sama lain terus berlaku? Apakah itu dinamakan kepimpinan sebenar yang kita cuba bentuk dari kalangan pemimpin muda? Sepanjang terlibat dalam dunia kepimpinan ini, berapa ramai pemimpin yang bergelumang dengan dunia pengetahuan, membaca buku dan berdiskusi isu-isu semasa secara membina atau ilmiah selain perkara utama menjaga hal ehwal kebajikan mahasiswa? Cukupkah dengan hanya membaca blog picisan, komen-komen sampah di Facebook, flyers (juga menjadi sampah) dan mendengar dari sumber yang belum tentu kebenarannya lalu kita menjadikannya sebagai panduan utama? Tidak. Itu tidak cukup.


Oleh itu marilah kita kembali semula kepada semangat PRK yang sebenar. Iaitu melatih, mencari dan menggarap kemahiran bakal pemimpin. Jangan dihalang perasaan berkobar-kobar golongan mahasiswa ini. Berikan peluang (dengan syarat kita mengikut peraturan). Binalah pelbagai kemahiran. Ambillah peluang menjalinkan perhubungan yang lebih sihat, membantu kepada mereka yang memerlukan, jangan lupa masyarakat kita di luar sana yang masih ramai menunggu mahasisawa kita untuk turun bersama. Binalah suatu ketumbukan kepimpinan universiti yang berkualiti, bekreadibiliti, berkarisma, berkemahiran, bertanggungjawab, berilmu selaras dengan tuntutan agama kita.


“Pemimpin yang berkualiti dilahirkan dalam suasana yang berkualiti”

Friday, December 25, 2009

next aktiviti is..

Berikut adalah program terdekat :
  • 19/12- MC Forum Memperkasa Jati Diri Graduan (YB Dato' Mukhriz)
  • 25/12- Welcoming Dinner MASKUM, de Tropica, UTM
  • 28/12- Site Visit at KEJORA, Johor
  • 29/12- AGM PEWIBAWA, FAB
  • 2/1- MC Majlis Perasmian Persatuan Ank Ngeri Terngganu (YB Ahmad Said), UTM
  • 3/1- 1 day Singapore trip
  • 8-15/1- Pilihan Raya Kampus MPP Sesi 2009/2010, UTM
  • 6/2- Makan malam SUTRA, KRP
  • 18-24/2- International Student Leader Conference 2010-Pen. Timb Pengarah Pengurusan
  • 24-28/2- Taman Negara, Pahang- Observation & Survey Camp





Wednesday, December 23, 2009

Ronda2 KRP

Salam dan sejahtera

Keselamatan kawasan kediaman anda adalah tanggungjawab bersama. Penulis sedikit terkejut apabila dikhabarkan, berlakunya kejadian kecurian di blok yang didiami penulis. Perasaan selamat untuk tinggal di bilik sendiri semakin terhakis. Keselamatan barang berharga dan keselamatan diri sendiri tergugat dengan berlakunya beberapa kes kecurian hanya dalam satu malam sahaja di beberapa blok kediaman pelajar!.

Oleh hal demikian semalam, atas inisiatif pengetua, felo dan JKM KRP sebuah rondaan secara berkumpulan menggunakan motorsikal telah dijalankan. Untuk permulaan, kira-kira 10 mahasiswa telah turut serta dalam rondaan yang bermula dari jam 0200 tersebut. Semua lorong, laluan dan blok dipantau oleh kumpulan peronda dan pergerakan mencurigakan akan dilaporkan dengan segera. Namun sepanjang beberapa jam rondaan tersebut, kami langsung tidak berjumpa dengan pihak keselamatan yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap keselamatan kolej-kolej kediaman.

Seharusnya kawalan dan rondaan seperti itu harus dilakukan secara kerap. Bukan sahaja melalui jalan-jalan utama sekitar kampus namun memasuki lorong kecil di blok kediaman. Usaha ini mungkin tidak dapat dilakukan setiap hari oleh warga penghuni kolej atas komitmen mahasiswa untuk menghadiri kuliah disebelah pagi yang akan menyebabkan mereka mengantuk namun usaha murni mewujudkan kawalan rukun tetangga seperti itu harus diberi pujian. Oleh hal demikian, penulis ingin mengajak warga kampus untuk bersama-sama menjaga keselamatan kediaman anda dari kecurian atau apa sahaja bentuk jenayah.

"Banteras KECURIAN tanggungjawab BERSAMA"

Tuesday, December 22, 2009

PRK!PRK!PRK!


Ditulis oleh : Noor Aimran Bin Samsudin
Salam dan sejahtera

Bahang PRK mulai mewarnai kampus UTM. Pengatur-pengatur strategik dari kumpulan-kumpulan tertentu mula menyusun secara terperinci dan menyusun calon masing-masing. Tahniah kepada mahasiswa UTM semua! Kita bukan sahaja perlu menjadi seorang yang cemerlang dalam akademik namun dari masa ke semasa perlu membina karakter yang cemerlang. Barangkali para calon sudah berkira-kira akan manifesto yang akan diperdebatkan di sekeliling kampus kelak.

Sekeliling kampus akan mula terpampang muka calon-calon yang menjadi harapan hampir puluhan ribu mahasiswa di UTM ini. Harapan mereka, tidak lain tidak bukan..sejak sekian lama, kebajikan mereka. Kebajikan yang perlu dijaga sepanjang mereka bergelar mahasiswa di kampus ini. Pada pandangan saya, kita perlu mula membuka, melihat dan menilai konteks yang lebih luas sifatnya. Masyarakat di luar sana!, yang menanti perhatian para mahasiswa di dalam kampus. Cukuplah kita hanya berkisar pada kisah ''aku hendak ini..aku hendak itu", sebaliknya kita tukar pula kepada "apa aku boleh bantu pada mereka".

Ayuh mahasiswa sekalian, kita perlu ke luar sana. Menjenguk mereka disana. Cerita kita bukan lagi hanya berkisar pada harga makanan, talian IT, perkhidmatan bas atau apa sahaja yg bersifat tempatan, tetapi kita seharusnya perlu berbicara dalam konteks yang lebih nasional dan meluas sifatnya. Diharapkan pencapaian cemerlang peratusan keluar mengundi bagi setiap fakulti dapat dikekalkan prestasinya seperti mana tahun 2009 malah lebih baik.

BIG IDEA, BIG HOPE!

Keep our campus GREEN
to become SUSTAINABILITY CAMPUS!







Friday, December 18, 2009

TANGGUNGJAWAB

Salam

Selamat tahun baru buat semua muslimin n muslimat!

Hari yang cukup tenang dan damai..lagi-lagi buat orang yang berfikir..fikir dan terus berfikir. Cuaca redup, angin sepoi2 bahasa..tak tahulah bahasa apa. Bumi terus berputar, yang bernyawa terus menghirup udara. Kalau tak syukur tak tahu lah. Kita diberikan nikmat macam-macam. Tapi kita juga diberikan assignment sebagai tugasan dari Pencipta. Balasan, kerana kita menerima pelbagai kemudahan dariNya. Tak perlu pon pergi ke CIMB atau Bank Islam withdraw duit, bayar!. Itu adalah tanggungjawab kita dgn pencipta.

Macam mana plak dgn sesame manusia?. Same jgak, ada tggjwab dan hak yang perlu kite jaga sesama kita. Setiap insan perlu memahami apa sebenarnya tanggjwab kita sesama insan. Adakah saya, anda, ketua2 kampung, ibu, bapa, atok, nenek, cikgu, planner, presiden, driver, tukang cuci, parti A,B,C,D....dll. benar2 faham maksud TANGGUNGJAWAB??


Tepuk dada tanya iman, tepuk meja tanya meja, tepuk bantal terus lena, lantaklah nak tepuk apa yg penting kita faham apa itu...

TANGGUNGJAWAB

Tuesday, December 15, 2009

Catatan peribadi X-UK #5

JUMAAT (27/11/2009) – Paris


Takbir di pagi raya terus bergema. Sedikit berasa kelainan kerana buat pertama kali beraya di perantauan. Hari Raya Aidiladha disambut secara ringkas. Awal pagi, kami hanya menikmati serunding, nasi impit, mee segera sebagai jamuan raya. Makan bersama-sama mengubati rindu kampung halaman barangkali. Di dalam perjalanan ke stesen keretaapi, kami sempat bertakbir bersama dalam bas. Di stesen tersebut sekali lagi kami melalui pemeriksaan imigresen sebelum meneruskan perjalanan ke Paris dengan menaiki Eurostar (keretapi berkelajuan peluru). Perjalanan ke Paris mengambil masa sekitar 3jam dari Stesen St. Pancras International dengan kelajuan sekitar 180 km/j. Telinga berasa sedikit sakit kerana tekanan udara yang dihadapi sewaktu keretapi meluncur laju di dalam terowong. Perjalanan dari London ke Paris memerlukan tren berkelajuan tinggi tersebut melalui terowong Selat Inggeris selama 20minit. London ditinggalkan dengan penuh kenangan dan Paris mengalukan ketibaan kami.


Sebaik keluar dari terminal kami terus melawat sekitar kota Paris. Tidak jauh dari stesen kereta api, terdapat sebuah kawasan yang didiami oleh golongan miskin, tidak berumah (homeless) dan agak kotor. Suasana di Paris agak berbeza jika dibandingkan dengan London yang lebih teratur. Walaubagaimanapun bangunan lama turut menjadi identiti Paris. Moulin Rouge iaitu sebuah bangunan yang menempatkan pentas tarian terkenal mereka menjadi tumpuan pengunjung. Kawasan itu tidak ubah seperti di Lorong Hj. Taib yang terkenal dengan aktiviti tidak sihat, pelacuran. Malah pelacur dipamerkan dalam cermin seperti barang pameran!. Di kawasan tengah bandar, suasana lebih baik. Keindahan bangunan dengan patung dan arca di merata tempat. Tiang-tiang besar bercirikan Rom menjadi tarikan pelancong. Kami dibawa membeli belah di Galeries Lafayette tidak ubah seperti kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur (Bukit Bintang-KLCC), kawasan mewah yang menawarkan pelbagai jenis butik pakaian. Melihat telatah kutu rayau yang meniaga buah berangan dengan troli pasaraya di hadapan kompleks membeli belah terkemuka tersebut menarik perhatian.


Dari perhatian, masyarakat di sini terdiri daripada pelbagai bangsa. Tidak susah untuk bertemu dengan orang Muslim di tengah kesibukan kota Paris, kota yang terkenal dengan unsur romantis seperti yang diperjelaskan oleh ejen kami. Seterusnya kami dibawa menyelusuri Sg. Seine selama satu jam. Sepanjang menerusi sungai tersebut kami disajikan pemandangan Eifel Tower yang terkenal tersebut. Deretan bangunan lama masih utuh malah tidak ada satu pun bangunan moden didirikan di tebing sungai bagi menjaga keaslian identiti kota Paris. Sungai tersebut cukup bersih dan tidak berbau. Beberapa buah bot pelancong yang dijadikan café terapung dan kediaman berlabuh di tepian sungai. Kita juga mempunyai tarikan seperti itu di Sungai Melaka dengan aktiviti River Cruise menyelusuri bandar Melaka. Panorama malam semakin menarik dengan hiasan lampu berwarna warni pada bangunan di Paris.


Sebelah malam, kami berpeluang singgah di rumah kediaman salah seorang pegawai Kedutaan Malaysia yang juga pakcik kepada Saudara Faiz. Di sana kami berpeluang menikmati jamuan hari raya bersama beberapa pegawai termasuk dari Kedutaan Malaysia, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), UNESCO (Sains & Teknologi), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pelajar-pelajar Malaysia dan masyarakat tempatan. Saudara Abd. Hadi merangkap Yang Dipertua MPP juga turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan penghargaan atas layanan yang diberikan kepada peserta X-UK pada malam tersebut.

Sunday, December 13, 2009

Catatan peribadi X-UK #4




KHAMIS (26/11/2009) – Oxford

Seawal jam 0830 lagi, kami telah berkumpul untuk meneruskan program X-UK ke University of Oxford. Lawatan pada hari tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Prof. Dr. Mohd Tajudin B. Ninggal, Timbalan Naib Cancelor HEP & Alumni, UTM yang turut serta dalam lawatan ke University of Oxford. Universiti tersebut tidak kurang hebatnya seperti mana di Cambridge. Panorama di sana tidak banyak perbezaannya, bangunan batu bata yang tidak bercat, menara gereja di merata tempat. Cuma jalannya lebih luas dan lebih banyak kawasan lapang atau dataran terbuka. Di kiri dan kanan deretan bangunan lama maish berdiri teguh , dimana setiap fasad bangunan adalah berbeza reka bentuknya. Dari pemerhatian saya, tidak ada satu bangunan mempunyai reka bentuk sama. Selain berkesempatan melawat muzium yang menempatkan artifak dari pelbagai tamadun dunia termasuk mumia. Pelancong turut dibenarkan membawa kamera merakam gambar. Kami turut bertemu sekumpulan pelajar sekolah rendah yang kusyuk mendengar kuliah dari guru mereka. Selain itu yang menariknya, mereka diberikan tugasan tertentu yang perlu disiapkan. Saya sempat berkenalan dan melihat hasil kerja mereka termasuk melukis arca yang dilihat dan bakal dijadikan poskad khas oleh muzium!. Proses pembelajaran seperti itu pada pendapat saya sangat baik untuk dipraktiskan di Malaysia supaya para pelajar tidak berasa jemu menghabiskan masa pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas sebaliknya beberapa siri lawatan sambil belajar perlu diatur. Pada usia yang muda, mereka telah didedahkan dengan sejarah tamadun dunia, bukan sahaja dengan pembacaan buku sejarah malah melihat secara dekat arca dan pelbagai artifak. Kami turut dibantu 2 pelajar Malaysia yang menuntut di Oxford iaitu Saudari Alia dan Zetty bersama-sama membantu kami melawat sekitar University of Oxford yang juga rakan kepada Saudari Nurul Asyikin (pengarah program).

Pemandangan di sekitar Oxford sangat mengagumkan. Di hadapan bangunan Christ Church terdapat sebuah padang ragut menghijau yang sangat luas. Beberapa ekor lembu berbulu seperti biri-biri (sesuai dengan cuaca tempatan) sedang berehat berhampiran pagar. Selain itu terdapat sebatang sungai kecil. Terdapat beberapa ekor itik berenang menghampiri kami walaupun daun kering dihulur. Bersih dan suasana sekeliling begitu nyaman ditambah cuaca yang agak baik. Jalan tidak berturap dan berbatu halus di hadapan bangunan tersebut menghubungkan ke beberapa kawasan yang lain. Begitulah keadaan kampus Oxford, sepanjang perjalanan tidak pula terjumpa sampah, walau pembalut gula-gula. Graduan bersilih ganti, usia bangunan terus bertambah, persekitaran terus dipelihara.

Bayaran dikenakan sebanyak 4pound untuk melawat Chirst Church. Selain menempatkan bilik tempat perbincangan, terdapat sebuah dewan makan istimewa yang menjadi pilihan latarbelakang sebuah filem yang di adaptasikan dari sebuah novel, Harry Porter. Kami difahamkan Saudari Alia dan Zetty, bangunan tersebut digunakan oleh pelajar elit, terdiri daripada golongan bangsawan seluruh dunia. Mereka diasingkan dan menikmati pelbagai kemudahan, termasuk jalan khas supaya tidak bertembung dengan pelajar biasa. Dewan makan yang tersusun rapi dengan pinggan mangkuk dan meja memanjang, kemas tersusun. Cermin berwarna-warni membenarkan cahaya matahari memasuki dewan. Kemasan kayu pada dinding jelas menunjukkan kemasyuran dalam melahirkan graduan dan tokoh-tokoh dunia. Gambar-gambar berbingkai, bekas graduan mereka yang terkenal melekat kemas di dinding. Mereka amat menghargai nilai seni dan sejarah. Difahamkan oleh Custodians (pengawal yang menjaga dan membantu para pelancong), terdapat kira-kira 500 pelajar elit yang sedang mengikuti pengajian. Loceng akan bergema di Oxford mengikut waktu tertentu termasuk waktu makan mereka dan pelawat tidak dibenarkan memasuki dewan tersebut!.

Friday, December 11, 2009

Catatan peribadi X-UK #3

RABU (25/11/2009) – Cambridge

University of Cambridge telah menjangkau usia 800 tahun. Kami disambut oleh deretan bangunan lama dan sebatang sungai yang sangat bersih. Perletakan fakulti di universiti termasyur tersebut sangat berbeza dengan universiti tempatan di negara kita. University of Cambridge terdiri daripada beberapa buah kolej yang menawarkan pelbagai bidang pengajian dan terletak di tengah-tengah masyarakat. Tanpa sebarang pagar, yang memisahkan kawasan kampus, pelajar dan masyarakat tinggal bersama. Semasa kami tiba, para pelajar berduyun-duyun ke kolej masing-masing. Pengangkutan utama adalah basikal dan bas. Difahamkan, caj tertentu dikenakan jika membawa kenderaan masuk ke dalam kawasan kampus. Oleh sebab itu, pelajar mereka lebih gemar mengayuh basikal dengan sangat laju!. Mungkin tidak mahu lewat ke kuliah. Dimana-mana saya dapat melihat deretan basikal disandar pada dinding bangunan yang kelihatan uzur. Malah jika diperhatikan beberapa gereja juga turut dijadikan fakulti.

Di Trumpington Street, kami meluangkan waktu melawat Fitzwilliam Musuem yang menempatkan pelbagai jenis pameran. Saya juga berpeluang menemui sebuah kereta keluaran Proton, model Satria di sana.

Di waktu luang saya mengambil peluang untuk menjelajah sehingga Lensfield Road yang menempatkan Roman Catholic Church dan Scott Polar Research Institute. Dengan perletakan secara berselerak, adalah sukar untuk mencari fakulti atau jabatan pengajian mereka kerana hanya papan tanda kecil saja dilekatkan pada dinding bangunan. Universiti tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan pelajar dari seluruh dunia malah ribuan pelancong. Suasana disana sangat memberangsangkan dengan udara nyaman, tiada kesesakan trafik, pelajar berulang alik dengan basikal dan pemandangan yang sangat indah. Malah. mantan Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj turut pernah belajar di salah sebuah kolej iaitu Kolej St Catharine. Berhampiran kawasan kolej tersebut sebuah kawasan lapang yang dikelilingi bangunan dan sebuah kolam air pancut menempatkan pasar awam iaitu Market Square. Di pasar tersebut tidak ubah seperti pasar tani di negara kita. Pelbagai sayuran, buah-buahan, pakaian, buku terpakai dan barang hiasan ditawarkan pada harga rendah.

Seterusnya kami ke Library University of Cambridge melalui jalan West Road. Malangnya di bangunan tersebut, pelawat hanya dibenarkan melawat di sebuah galeri kecil yang menempatkan beberapa pameran. Disebelah pintu masuk bangunan, kami mengambil kesempatan menunaikan solat dan makan bekalan makanan yang dibawa, serunding bersama roti. Seharian di University of Cambridge, kami ke hotel Webley Plaza yang berlatarbelakangkan Stadium Webley untuk menginap selama 2 hari berikutnya.

Wednesday, December 9, 2009

We Have A Dream


We Have A Dream

Setiap manusia mempunyai impian. Tak kiralah impian tersebut besar menggunung sehingga sekecil-kecil perkara. Walau pada suatu ketika impian tersebut dikatakan suatu yang sukar untuk dicapai, namun dengan tekad dan azam yang tinggi, insyallah semuanya diperolehi. Bergantung pula kepada usaha kita. Tidak cukup hanya mengimpikan itu ini, namun tiada usaha dilakukan. Dengan impian sudah ramai manusia berjaya, tokoh politik, usahawan, agamawan dan masyarakat biasa seperti kita. Pasanglah cita-cita, tekadkan azam, bulatkan iltizam anda. Bergeraklah seiring dengan target anda tersebut. Rempuhlah segala halangan yang menghalang anda untuk terus berjaya. Tak kiralah apa jua yang anda ingin lakukan selagi mana ia selari dengan norma kehidupan dan syariah kita. Amat rugilah manusia tidak mempunyai impian. Tiada impian maksudnya tiada matlamat. Tiada matlamat pula menyebabkan hanyutnya kehidupan kita entah ke mana. Begitulah pentingnya impian terhadap kehidupan kita.



Tengahari saya berpeluang untuk mengikuti sesi perbincangan yang diaturkan Majlis Profesor UTM di de Tropica berhampiran Tmn Tropika UTM. Perbincangan kali ini berkisarkan Teori Darwin. Rakanku, Saudara Zaki menghantar SMS mengajak untuk turut serta dalam majlis ilmu tidak formal tersebut. Sambil menikmati mee kari & jus kari yang dihidangkan, saya khusyuk mendengar sesi perbincangan tersebut, walaupun seketika sukar untuk memahaminya. Beberapa prof. yang hadir saling berbincang mengenai teori yang berusia 150 tahun tersebut dari perspektif Islam. Pada hemat saya hampir tiada mahasiswa yang tahu akan kewujudan majlis tersebut. Setiap minggu topik perbincangan bertukar dan menariknya ia dijalankan secara santai. Itulah antara inisiatif Dr. Zaini, NC UTM untuk membudayakan Budaya Ilmu di kampus. Itu impian UTM dalam memastikan kampus kita setanding dengan pusat pengajian utama dunia yang terkenal, mungkin seperti Oxford dan Cambridge (masih teringat suasana indah kampus tersebut semasa mengikuti X-UK 09 lalu). Anda bagaimana? Apakah IMPIAN anda?

Catatan peribadi X-UK #2

SELASA (24/11/2009) –pusat bandar


Sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow London, saya agak terkejut dengan keadaan lapangan terbang yang agak uzur (jika dibandingkan Abu Dhabi dan KLIA) dan dipenuhi oleh wajah manusia dari pelbagai negara. Walaubagaimanapun lapangan tersebut merupakan antara lapangan terbang tersibuk di dunia. Sebelum mendarat pesawat kami terpaksa melakukan pusingan beberapa kali di udara sebelum mendapat kebenaran oleh pusat kawalan udara Heatrow. Antara soalan yang ditanya oleh pegawai sebaik sahaja tiba giliran ialah “adakah anda membawa dadah?” dan “adakah anda membawa bahan membahaya?” dengan nada tegas. Begitulah keadaan sebuah kota metropolitan dunia yang sentiasa mencurigai dan berwaspada berkenaan hal keselamatan selepas tragedi 9/11. Beberapa bekalan makanan peserta turut dirampas seperti makanan dalam tin. Hampir semua peserta membawa 2 buah bagasi yang digunakan untuk mengisi makanan dan pakaian secukupnya. Semua persoalan dijawab dengan tenang kerana Pn. Jasmine terlebih dahulu menerangkan situasi yang bakal ditempuhi di sana. Sekali lagi kami terpaksa bersolat Subuh di sebuah sudut kecil tempat pengambilan beg, kerana ketiadaan bilik khas untuk bersolat dan masa yang sangat terhad.


Sebuah bas sewa khas telah sedia menunggu di luar terminal. Seringkali kami diingatkan mengenai ketetapan waktu di Kota London tersebut. Jika anda lewat, maka anda akan ditinggalkan. Pada pemerhatian saya sepanjang program, masyarakat di London sangat mengambil berat mengenai ketepatan waktu. Ini dapat dilihat pada perkhidmatan pengangkutan awam mereka. Setiap perhentian bas mereka mempunyai papan pemuka elektronik menunjukan waktu bas yang bakal tiba. Kota London menyambut kami dengan deruan angin sejuk pada suhu sekitar 9 darjah celcius. Dari dalam bas yang dipandu oleh pemandu yang sentiasa tersenyum dan memakai kot serta bertali leher. Kesesakan tidak ubah seperti di ibu kota Kuala Lumpur. Disebelah kiri dan kanan dihiasi oleh kawasan kediaman yang diperbuat daripada batu bata serta serombong asap pada bumbung rumah. Beberapa kawasan padang rumput hijau terbentang luas di kiri dan kanan.


Di London, kami dibawa melawati beberapa kawasan utama. Dari dalam bas kami diberikan taklimat oleh pemandu arah tempatan yang turut menyertai lawatan sehari tersebut. Kami turut singgah di beberapa kawasan pemerhatian yang menawarkan pemandangan Big Ben, Parliament dan London Bridge. Kelihatan juga sebuah Roda Ferris London Eye antara yang terbesar di dunia selepas dikalahkan Eye On Singapore. Struktur tersebut menempatkan gondola yang cukup besar kepada pengunjung yang ingin melihat pemandangan indah kota London dari udara. Lensa kamera terus merakamkan pemandangan indah akan keunikan fasad bangunan yang masih utuh hingga kini. Mereka begitu memelihara bangunan lama melalui aktiviti conservation (pemuliharaan). Negara kita turut mempunyai banyak bangunan lama yang bersejarah. Usaha pemuliharaan masih perlu dipertingkatkan melalui peruntukan perundangan sedia ada agar generasi akan datang dapat melihat hasil seni bina. Seni bina membentuk identiti, karektor dan imej sesuatu bandar. Bukan sahaja ukiran, arca, patung dan monumen sesuatu bandar tersebut memainkan peranan, malah aktiviti di dalam bandar juga memainkan peranan membentuk suatu ‘pengenalan’ kepada pelancong. Misalnya, London terkenal dengan “Double Decker” merah dan teksi lama (difahamkan warna asal ialah hitam).


Di tepi Sg Themes, kami turut berpeluang melihat struktur kapal perang HMS Belfast yang kini telah dijadikan muzium. Kemudian kami bersiar di sekitar Oxford Street yang menempatkan pelbagai pusat komersial dan pusat membeli belah seperti Marks & Spenser. Di tengah kesibukan manusia kami sempat singah di beberapa buah kedai yang menawarkan pelbagai barangan cenderamata beridentitikan London pada kadar “berpatutan”, iaitu kira-kira 6 kali ganda nilai di Malaysia. Jika di Malaysia terkenal dengan Giant, di London iaitu Marks & Spenser turut menjual pelbagai jenis barangan termasuk makanan, barangan dapur, pakaian dan sebagainya. Buah epal dan air mineral menjadi pilihan. Menariknya saya dikenakan caj beberapa sen kerana tidak membawa beg membeli belah sendiri. Begitulah masyarakat mereka dididik untuk melestarikan alam sekitar. Namun di Malaysia nampaknya beberapa pihak mula melakukan perkara sama, pembeli digalakkan untuk membeli beg mesra alam yang boleh digunakan berulang kali, sekali gus mengurangkan penggunaan beg plastik konvensional. Kampus kita juga boleh melakukan perkara sama dalam membantu mengwujudkan alam yang lebih sihat dengan mengurangkan penggunaan bahan polistrin atau plastik.


Sebelah petang, kami di bawa untuk bersiar di The Mall yang merupakan persiaran utama ke Istana Buckingham. Terdapat sebuah taman awam yang sangat mengagumkan dengan pemandangan daun berguguran menandakan musim sejuk bakal tiba iaitu di St. James Park. Kami turut berpeluang melihat perarakan kuda di sepanjang The Mall menghala ke Queen Victoria Memorial seperti Dataran Putra di Putrajaya. Di istana tersebut, Batalion Pertama (Batalion Istiadat) Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) pernah diberi penghormatan mengawal keselematan istana suatu ketika dahulu. Lawatan berakhir di Pusat Budaya Islam di London Central Mosque untuk menunaikan solat. Masjid utama tersebut bukan sahaja menyediakan ruang untuk beribadah tetapi turut memiliki beberapa buah kedai, restoran dan pusat informasi bagi masyarakat tempatan berkenalan dengan Agama Islam. Kami menginap di Menzies Cambridge Hotel and Golf Course yang terletak di pinggir pusat bandar London.