Wednesday, December 9, 2009

Catatan peribadi X-UK #2

SELASA (24/11/2009) –pusat bandar


Sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow London, saya agak terkejut dengan keadaan lapangan terbang yang agak uzur (jika dibandingkan Abu Dhabi dan KLIA) dan dipenuhi oleh wajah manusia dari pelbagai negara. Walaubagaimanapun lapangan tersebut merupakan antara lapangan terbang tersibuk di dunia. Sebelum mendarat pesawat kami terpaksa melakukan pusingan beberapa kali di udara sebelum mendapat kebenaran oleh pusat kawalan udara Heatrow. Antara soalan yang ditanya oleh pegawai sebaik sahaja tiba giliran ialah “adakah anda membawa dadah?” dan “adakah anda membawa bahan membahaya?” dengan nada tegas. Begitulah keadaan sebuah kota metropolitan dunia yang sentiasa mencurigai dan berwaspada berkenaan hal keselamatan selepas tragedi 9/11. Beberapa bekalan makanan peserta turut dirampas seperti makanan dalam tin. Hampir semua peserta membawa 2 buah bagasi yang digunakan untuk mengisi makanan dan pakaian secukupnya. Semua persoalan dijawab dengan tenang kerana Pn. Jasmine terlebih dahulu menerangkan situasi yang bakal ditempuhi di sana. Sekali lagi kami terpaksa bersolat Subuh di sebuah sudut kecil tempat pengambilan beg, kerana ketiadaan bilik khas untuk bersolat dan masa yang sangat terhad.


Sebuah bas sewa khas telah sedia menunggu di luar terminal. Seringkali kami diingatkan mengenai ketetapan waktu di Kota London tersebut. Jika anda lewat, maka anda akan ditinggalkan. Pada pemerhatian saya sepanjang program, masyarakat di London sangat mengambil berat mengenai ketepatan waktu. Ini dapat dilihat pada perkhidmatan pengangkutan awam mereka. Setiap perhentian bas mereka mempunyai papan pemuka elektronik menunjukan waktu bas yang bakal tiba. Kota London menyambut kami dengan deruan angin sejuk pada suhu sekitar 9 darjah celcius. Dari dalam bas yang dipandu oleh pemandu yang sentiasa tersenyum dan memakai kot serta bertali leher. Kesesakan tidak ubah seperti di ibu kota Kuala Lumpur. Disebelah kiri dan kanan dihiasi oleh kawasan kediaman yang diperbuat daripada batu bata serta serombong asap pada bumbung rumah. Beberapa kawasan padang rumput hijau terbentang luas di kiri dan kanan.


Di London, kami dibawa melawati beberapa kawasan utama. Dari dalam bas kami diberikan taklimat oleh pemandu arah tempatan yang turut menyertai lawatan sehari tersebut. Kami turut singgah di beberapa kawasan pemerhatian yang menawarkan pemandangan Big Ben, Parliament dan London Bridge. Kelihatan juga sebuah Roda Ferris London Eye antara yang terbesar di dunia selepas dikalahkan Eye On Singapore. Struktur tersebut menempatkan gondola yang cukup besar kepada pengunjung yang ingin melihat pemandangan indah kota London dari udara. Lensa kamera terus merakamkan pemandangan indah akan keunikan fasad bangunan yang masih utuh hingga kini. Mereka begitu memelihara bangunan lama melalui aktiviti conservation (pemuliharaan). Negara kita turut mempunyai banyak bangunan lama yang bersejarah. Usaha pemuliharaan masih perlu dipertingkatkan melalui peruntukan perundangan sedia ada agar generasi akan datang dapat melihat hasil seni bina. Seni bina membentuk identiti, karektor dan imej sesuatu bandar. Bukan sahaja ukiran, arca, patung dan monumen sesuatu bandar tersebut memainkan peranan, malah aktiviti di dalam bandar juga memainkan peranan membentuk suatu ‘pengenalan’ kepada pelancong. Misalnya, London terkenal dengan “Double Decker” merah dan teksi lama (difahamkan warna asal ialah hitam).


Di tepi Sg Themes, kami turut berpeluang melihat struktur kapal perang HMS Belfast yang kini telah dijadikan muzium. Kemudian kami bersiar di sekitar Oxford Street yang menempatkan pelbagai pusat komersial dan pusat membeli belah seperti Marks & Spenser. Di tengah kesibukan manusia kami sempat singah di beberapa buah kedai yang menawarkan pelbagai barangan cenderamata beridentitikan London pada kadar “berpatutan”, iaitu kira-kira 6 kali ganda nilai di Malaysia. Jika di Malaysia terkenal dengan Giant, di London iaitu Marks & Spenser turut menjual pelbagai jenis barangan termasuk makanan, barangan dapur, pakaian dan sebagainya. Buah epal dan air mineral menjadi pilihan. Menariknya saya dikenakan caj beberapa sen kerana tidak membawa beg membeli belah sendiri. Begitulah masyarakat mereka dididik untuk melestarikan alam sekitar. Namun di Malaysia nampaknya beberapa pihak mula melakukan perkara sama, pembeli digalakkan untuk membeli beg mesra alam yang boleh digunakan berulang kali, sekali gus mengurangkan penggunaan beg plastik konvensional. Kampus kita juga boleh melakukan perkara sama dalam membantu mengwujudkan alam yang lebih sihat dengan mengurangkan penggunaan bahan polistrin atau plastik.


Sebelah petang, kami di bawa untuk bersiar di The Mall yang merupakan persiaran utama ke Istana Buckingham. Terdapat sebuah taman awam yang sangat mengagumkan dengan pemandangan daun berguguran menandakan musim sejuk bakal tiba iaitu di St. James Park. Kami turut berpeluang melihat perarakan kuda di sepanjang The Mall menghala ke Queen Victoria Memorial seperti Dataran Putra di Putrajaya. Di istana tersebut, Batalion Pertama (Batalion Istiadat) Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) pernah diberi penghormatan mengawal keselematan istana suatu ketika dahulu. Lawatan berakhir di Pusat Budaya Islam di London Central Mosque untuk menunaikan solat. Masjid utama tersebut bukan sahaja menyediakan ruang untuk beribadah tetapi turut memiliki beberapa buah kedai, restoran dan pusat informasi bagi masyarakat tempatan berkenalan dengan Agama Islam. Kami menginap di Menzies Cambridge Hotel and Golf Course yang terletak di pinggir pusat bandar London.

1 comment:

  1. salam..moga kamu selamat di sana...
    take care...

    ReplyDelete

Sila komen.