Wednesday, December 9, 2009

Catatan peribadi X-UK #2

SELASA (24/11/2009) –pusat bandar


Sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow London, saya agak terkejut dengan keadaan lapangan terbang yang agak uzur (jika dibandingkan Abu Dhabi dan KLIA) dan dipenuhi oleh wajah manusia dari pelbagai negara. Walaubagaimanapun lapangan tersebut merupakan antara lapangan terbang tersibuk di dunia. Sebelum mendarat pesawat kami terpaksa melakukan pusingan beberapa kali di udara sebelum mendapat kebenaran oleh pusat kawalan udara Heatrow. Antara soalan yang ditanya oleh pegawai sebaik sahaja tiba giliran ialah “adakah anda membawa dadah?” dan “adakah anda membawa bahan membahaya?” dengan nada tegas. Begitulah keadaan sebuah kota metropolitan dunia yang sentiasa mencurigai dan berwaspada berkenaan hal keselamatan selepas tragedi 9/11. Beberapa bekalan makanan peserta turut dirampas seperti makanan dalam tin. Hampir semua peserta membawa 2 buah bagasi yang digunakan untuk mengisi makanan dan pakaian secukupnya. Semua persoalan dijawab dengan tenang kerana Pn. Jasmine terlebih dahulu menerangkan situasi yang bakal ditempuhi di sana. Sekali lagi kami terpaksa bersolat Subuh di sebuah sudut kecil tempat pengambilan beg, kerana ketiadaan bilik khas untuk bersolat dan masa yang sangat terhad.


Sebuah bas sewa khas telah sedia menunggu di luar terminal. Seringkali kami diingatkan mengenai ketetapan waktu di Kota London tersebut. Jika anda lewat, maka anda akan ditinggalkan. Pada pemerhatian saya sepanjang program, masyarakat di London sangat mengambil berat mengenai ketepatan waktu. Ini dapat dilihat pada perkhidmatan pengangkutan awam mereka. Setiap perhentian bas mereka mempunyai papan pemuka elektronik menunjukan waktu bas yang bakal tiba. Kota London menyambut kami dengan deruan angin sejuk pada suhu sekitar 9 darjah celcius. Dari dalam bas yang dipandu oleh pemandu yang sentiasa tersenyum dan memakai kot serta bertali leher. Kesesakan tidak ubah seperti di ibu kota Kuala Lumpur. Disebelah kiri dan kanan dihiasi oleh kawasan kediaman yang diperbuat daripada batu bata serta serombong asap pada bumbung rumah. Beberapa kawasan padang rumput hijau terbentang luas di kiri dan kanan.


Di London, kami dibawa melawati beberapa kawasan utama. Dari dalam bas kami diberikan taklimat oleh pemandu arah tempatan yang turut menyertai lawatan sehari tersebut. Kami turut singgah di beberapa kawasan pemerhatian yang menawarkan pemandangan Big Ben, Parliament dan London Bridge. Kelihatan juga sebuah Roda Ferris London Eye antara yang terbesar di dunia selepas dikalahkan Eye On Singapore. Struktur tersebut menempatkan gondola yang cukup besar kepada pengunjung yang ingin melihat pemandangan indah kota London dari udara. Lensa kamera terus merakamkan pemandangan indah akan keunikan fasad bangunan yang masih utuh hingga kini. Mereka begitu memelihara bangunan lama melalui aktiviti conservation (pemuliharaan). Negara kita turut mempunyai banyak bangunan lama yang bersejarah. Usaha pemuliharaan masih perlu dipertingkatkan melalui peruntukan perundangan sedia ada agar generasi akan datang dapat melihat hasil seni bina. Seni bina membentuk identiti, karektor dan imej sesuatu bandar. Bukan sahaja ukiran, arca, patung dan monumen sesuatu bandar tersebut memainkan peranan, malah aktiviti di dalam bandar juga memainkan peranan membentuk suatu ‘pengenalan’ kepada pelancong. Misalnya, London terkenal dengan “Double Decker” merah dan teksi lama (difahamkan warna asal ialah hitam).


Di tepi Sg Themes, kami turut berpeluang melihat struktur kapal perang HMS Belfast yang kini telah dijadikan muzium. Kemudian kami bersiar di sekitar Oxford Street yang menempatkan pelbagai pusat komersial dan pusat membeli belah seperti Marks & Spenser. Di tengah kesibukan manusia kami sempat singah di beberapa buah kedai yang menawarkan pelbagai barangan cenderamata beridentitikan London pada kadar “berpatutan”, iaitu kira-kira 6 kali ganda nilai di Malaysia. Jika di Malaysia terkenal dengan Giant, di London iaitu Marks & Spenser turut menjual pelbagai jenis barangan termasuk makanan, barangan dapur, pakaian dan sebagainya. Buah epal dan air mineral menjadi pilihan. Menariknya saya dikenakan caj beberapa sen kerana tidak membawa beg membeli belah sendiri. Begitulah masyarakat mereka dididik untuk melestarikan alam sekitar. Namun di Malaysia nampaknya beberapa pihak mula melakukan perkara sama, pembeli digalakkan untuk membeli beg mesra alam yang boleh digunakan berulang kali, sekali gus mengurangkan penggunaan beg plastik konvensional. Kampus kita juga boleh melakukan perkara sama dalam membantu mengwujudkan alam yang lebih sihat dengan mengurangkan penggunaan bahan polistrin atau plastik.


Sebelah petang, kami di bawa untuk bersiar di The Mall yang merupakan persiaran utama ke Istana Buckingham. Terdapat sebuah taman awam yang sangat mengagumkan dengan pemandangan daun berguguran menandakan musim sejuk bakal tiba iaitu di St. James Park. Kami turut berpeluang melihat perarakan kuda di sepanjang The Mall menghala ke Queen Victoria Memorial seperti Dataran Putra di Putrajaya. Di istana tersebut, Batalion Pertama (Batalion Istiadat) Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) pernah diberi penghormatan mengawal keselematan istana suatu ketika dahulu. Lawatan berakhir di Pusat Budaya Islam di London Central Mosque untuk menunaikan solat. Masjid utama tersebut bukan sahaja menyediakan ruang untuk beribadah tetapi turut memiliki beberapa buah kedai, restoran dan pusat informasi bagi masyarakat tempatan berkenalan dengan Agama Islam. Kami menginap di Menzies Cambridge Hotel and Golf Course yang terletak di pinggir pusat bandar London.

Sunday, December 6, 2009

Memimpin secara SEDERHANA

Salam

Suasana kampus, sunyi. Cuti semester tinggal seminggu lagi. Ada juga yang pulang awal ke kampus utk menyiapkan PSM. Ada juga yang menunggu saat akhir cuti baru pulang ke kampung. Di tahun akhir, masing-masing sibuk, PSM nya. Nak cari kerja lagi. Ada juga terfikir nak sambung belajar, termasuklah aku. Dah lama jugak tak berbual dengan para pensyarah aku. Tak pasti diorang sibuk ke tak. Esok bercadang untuk berjumpa para pensyarah aku, mungkin berbincang hal akademik, politik semasa, atau pengalaman aku ke oversea hari tuh. Ada rezeki boleh juga dikongsi dalam sesi khas bersama rakan-rakan lain yang akan pulang nanti. Buat presentation, macam saudara Hafiz yg pergi ke Hawaii tajaan WWF dulu. Wow..memang best. Aku berharap sangat pengalaman penyertaan aku dalam X-UK dapat dikongsi tak kisah lah secara formal atau tidak.



Owh aku bakal meletakan jawatan..hanya tinggal sebulan sahaja sebelum pilihan raya kampus akan berlangsung. Minggu yang memenatkan..Cukup lah bercuti. Aku memang dah tak sabar nak turun semula. Berucap..berkempen dan berdiskusi akan perancangan pergerakan organisasi. Tertarik dengan kata-kata Obama dalam salah satu bukunya, bagaimana beliau gambarkan perasaan diri sendiri sewaktu diberi peluang untuk bercakap dan berucap. Sepanjang diberi amanah memegang jawatan Pengerusi Jabatan Perhubungan Luar & Pengantarabangsaan (JPLP) suatu yang sukar aku percaya pada mulanya berdasarkan pengalaman aku yang hampir tiada selain mengacarakan majlis rasmi atau persembahan. Aku tidak pernah menjadi sebarang pengarah program sebelum MPP. Apabila diamanahkan untuk menguruskan International Festival UTM melibatkan 14 presiden perwakilan pelajar antarabangsa cukup menguji aku. Bagi aku, sepanjang kita mencapai matlamat itulah adalah sebaik pengajian dan pembelajaran. Aku tidak lahir dalam keluarga ahli politik seperti mana salah seorang rakanku yang merupakan salah seorang anak ahli politik. Dia sangat aktif dalam berpersatuan. Walaupun dia seorang muslimah biasa, ciri kepimpinan dia jelas diwarisi dari ayahandanya. Aku mendapat khabar dia sedang sakit, dan aku berharap rakan sekolahku itu kembali sihat.


Aku teringat lagi sewaktu sesi taaruf semasa memulakan tugas, pernah ditanya mengapa aku memasuki MPP? Salah satu ialah aku mengimpikan suatu “kualiti” pada semua rakan-rakanku di sekeliling termasuk diri sendiri, sukar untuk aku huraikan. Kualiti yang perlu dicapai oleh semua pihak. Oleh sebab itu, aku memerlukan sebuah platform seperti MPP. Untuk menghidupkan suatu budaya bukan lah kerja sekelip mata. Apatah lagi mengubah sikap, pemikiran dan tingkah laku.


Buku Kepimpinan 360 darjah sesuai untuk dibaca oleh pemimpin golongan pertengahan seperti aku (itu yang difahami sewaktu belajar Planning Management di kuliah). Pendekatan bersederhana lebih baik. Tidak ekstremis tidak tentu hala mengikut telunjuk tangan-tangan dari langit!. Aku ini hanya berada di permukaan sahaja, tidak lebih, tidak kurang. Aku lebih berminat akan KEPIMPINAN bukannya politik buta tuli. Aku lebih gemar berdiskusi secara saling mempercayai atau menghormati dari penuh perasaan buruk sangka. Aku lebih gemar memerhati tingkah laku dari berhujah lebih tapi lupa pula untuk bertindak. Ayuh, timbalah ilmu. Bacalah buku bukannya blog picisan. Dengarlah nasihat, berikan pendapat secara terbuka dan matang bukan perasaan. Setiap insan adalah pemimpin. Walau level mana kita berada. Bawah, pertengahan atau atasan. Carilah rakan yang baik kelak kita juga menjadi baik.


“Selamat menghadapi musim pilihan raya untuk semua warga kampus!”

Catatan peribadi X-UK #1

Bermula pada 23/11 sehingga 30/11/09 yang lalu, seramai 20 orang Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Teknologi Malaysia (MPP UTM) telah mengikuti sebuah program exploration to United Kingdom for Innovation, Communication and Academic Review (X-UK 2009) sekitar kota London dan Paris. Program tersebut dianjurkan MPP UTM sesi 2008/2009. Sepanjang program tersebut berlangsung pelbagai pengalaman dan pengetahuan dapat diperolehi. Berikut adalah catatan peribadi penulis sepanjang mengikuti program X-UK 2009.


ISNIN (23/11/2009)


Pada jam 1030 semua peserta X-UK telah berkumpul di perkarangan Bangunan Pentadbiran sebelum bertolak ke KLIA. Perjalanan ke KLIA sedikit terganggu kerana bas mengalami kerosan teknikal di plaza tol Senai Utara. Walaubagaimanapun selepas tertangguh selama 2jam, pihak Harta Bina UTM telah menghantar bas ganti bagi meneruskan perjalanan kami ke KLIA. Di perkarangan KLIA, kelihatan beberapa buah keluarga meluangkan masa bersama para peserta sebelum check-in. Sebelum melalui proses imegresen, kami diberikan taklimat ringkas oleh wakil agensi yang bertindak sebagai pemandu arah, saudari Jasmine. Beliau sentiasa berusaha memastikan semua peserta mendapat pengetahuan sebaik mungkin berkenaan kawasan yang telah dilawati. Proses imegresen di KLIA lancar dengan penggunaan mesin berteknologi tinggi. Penumpang hanya perlu memasukkan passport mereka dalam sebuah mesin khas dan mengesahkan identiti dengan imbasan cop jari yang hanya mengambil masa kurang 2minit.




Perjalanan ke Kota London mengambil masa sekitar 14jam dengan penerbangan Etihad Airways EY411 pada jam 1945. Kami perlu transit di Abu Dhabi selama 2jam. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, kawalan keselamatan agak ketat. Dengan wajah yang agak kurang menyenangkan, polis mereka berkawal di pelbagai tempat strategik. Sewaktu proses imbasan, kami terpaksa membuka kasut, tali pinggang dan jaket. Pemeriksaan terperinci akan dilakukan sekirannya mesin tersebut berbunyi. Disebabkan pemeriksaan ketat tersebut, kami kesuntukan masa untuk daftar masuk. Perbezaan waktu juga menyebabkan kami terpaksa menunaikan solat di dalam penerbangan seterusnya, EY 11 pada jam 0135. Penerbangan lancar, dengan layanan dan hidangan yang disediakan oleh syarikat tersebut termasuk paparan skrin individu yang menawarkan tayangan pelbagai video menyebabkan saya tidak begitu bosan di dalam pesawat.

Saturday, December 5, 2009

X-UK UTM 09

University of Oxford



Paris
University of Cambridge

Tomyam di pejabat

Salam

Nur Kasih pon dah habis..cuti semester pon dh nak habis. Cuti yang pendek, tapi penuh bermakna untuk orang seperti aku..yang terus mencari sesuatu. Seperti usaha Si Adam yang berusaha menjadi lebih baik. Wah..hantu Nur Kasih jugak nih walaupun aku berada di perantauan sewaktu episod terakhir!. Sebaik habis minggu peperiksaan, hati aku kembali tenang..melihat draf keputusan yang semakin meningkat. Alhamdulillah..walaupun tidak berjaya 2 sem berturut-turut mendapatkan list dekan yang menjadi target aku setiap semester. Aku tidak akan berasa menyesal walau sekali pun aku banyak terlibat dalam program di universiti..lagi-lagi MPP. Disini lah aku belajar untuk menjadi manusia. Disinilah aku berpeluang untuk terus membantu sesama insan. Syukur, kerana aku diberi peluang untuk bertemu orang2 yang hebat. Rakan-rakan yang sentiasa membantu, memberi nasihat dan menjadi teman bual takkala aku keseorangan. Sepanjang cuti aku hanya pulang ke rumah beberapa hari.

Sepanjang cuti ini aku berpeluang untuk bertemu golongan teknokrat, perancang bandar di Hari Perancang Bandar Sedunia dan Hari Habitat Sedunia 2009 di PWTC, kemudian menyertai sebuah kem kepimpinan di Melaka. Walaupun cuti, masih sempat menghadiri mesyuarat TNC A & A bersama presiden setiap negara membincangkan kebajikan dan hal akademik pelajar antarabangsa. Mungkin mesyuarat rasmi terakhir sebelum aku melepaskan jawatan secara rasmi pada bulan Januari akan datang. Sebelum outstation, sempat juga menyertai JKM KRP dlm Bersamamu TV3 di Batu Pahat.

Program terbesar aku ialah X-UK 09, dimana aku terpilih untuk menyertai prgram ke London (3hari) dan Paris (2hari) melalui penajaan HEP dan juga GOP. Alhamdulillah..pengalaman berada di luar negara membuka minda aku melihat dunia lain. Insyallah akan dikongsikan dalam penulisan akan datang secara bersiri.

Hmm...hari ini, aku dengan abg izwan, cik nadia and afendi main masak2..awal pagi menikmati nasi lemak di kedai mamak dan ke pasar. Masak bersama!..mkan tengahri di pejabat MPP bersama-sama.

Kolej sunyi..tiada kenderaan bertali arus seperti hari-hari biasa..hari yang tenang.. Selamat berhujung minggu buat anda semua !!!!

Monday, November 23, 2009

Bersamamu TV3-KRP




Pada 21/11/2009 lalu aku sempat menyertai program Bersamamu TV3- KRP di Sg. Ayam, Batu Pahat, Johor. Kami bergerak secara berkonvoi dari UTM dengan 3 buah van. Perjalanan mengambil masa 2jam. Dalam perjalanan tersebut kami berhenti ke sebuah kilang pemprosesan makanan ringan (IKS) yg turut menaja bantuan bagi menjayakan program Bersamamu kali ini. Beberapa barangan keperlauan harian turut ditaja oleh pihak kolej mahupun persendirian.

Rumah keluarga tersebut berada jauh dari jalan utama. Ditemani kebun dan belukar disekeliling pondon usang, disitulah keluarga tersebut membesarkan 5orang anaknya yang masih kecil. Paling besar darjah 6 yang baru sahaja mengambil UPSR. Disana kami disambut oleh krew TV3 dan pasukan sukarelawan NGO tempatan. Pondok kecil tanpa dinding dan elektrik tersebut hanya mempunyai sebuah bilik. Untuk ke lot tanah tersebut, kami terpaksa menyeberangi sebuah titian yang merentangi parit. Dikelilingi oleh tanaman seperti pisang dan tumbuhan lain, ketua keluarga tersebut cukup gigih orangnya walaupun ada juga pihak yang masih bersikap jumud.

Melihat terlantarnya salah seorang adik kecil mengerang kesakitan akibat sakit perut di atas tilam uzur tanpa mampu ke klinik untuk menerima rawatan, menyentuh perasaan aku. Kami turut mengambil peluang membantu membersihkan halaman dan bergotong royong membuat batas untuk bercucuk tanam. Adik beradik tersebut turut diberikan dorongan dan motivasi supaya mereka tetap gigih dan tabah mengharungi liku-liku hidup dan berjaya kelak dalam pelajaran mereka. Kepada para pemimpin tempatan, turunlah ke sekitar kawasan anda melihat kedaifan penduduk. Bantulah mana yang mampu. Jangalah bersikap sombong. Sesungguhnya penglibatan aku kali ini mengingatkan tugas sebagai seorang yang digelar PEMIMPIN

X-UK

Assalamualaikum Wbt

Pada hari ini seramai 20 ahli Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2008/2009 Universiti Teknologi Malaysia akan mengikuti program X-UK 2009. Perjalanan berorientasikan lawatan akademik ke universiti terkemuka di London dan kawasan bersejarah ini turut dijangka akan disertai oleh Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar UTM yang akan bertemu dengan pasukan ekspedisi ini pada hari kedua program. Program X-UK bermula dari 23-30/11/2009 ini akan melewati sekitar kota London dan juga Paris. Perjalanan pada hari ini bermula pada jam 1000 sebentar nanti dari perkarangan Bangunan Pentadbiran UTM, Skudai ke KLIA. Semoga diharapkan para peserta yang menyertai program X-UK kali ini akan mendapat sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu pengetahuan yang berguna, bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk masyarakat di sekeliling, Insyallah. Doakan perjalanan pasukan X-UK 09 akan diberkati dan dilindungi oleh Nya dalam perjalanan di bumi asing.

Pengerusi
Jab. Perhubungan Luar & Pengantarabangsaan
MPP UTM 0809

Wednesday, November 4, 2009

SEHATI BERDOSA

Salam,

Penulisan kali ini sekali lagi penulis ingin membawakan kepada anda para pembaca untuk terus berfikir secara kritis dan terbuka mengenai apa jua isu yang berlaku di sekeliling kita. Penulisan kali ini juga menuntut kita untuk berfikir bersama-sama dalam rasional sesuatu isu yang dikemukakan. Sekali lagi penulis memerhatikan kegagalan media kita terutamanya penerbit rancangan TV dalam usaha mereka membantu mendidik masyarakat kita. Berpegang teguh dengan prinsip hedonisme yang pastinya dari negara-negara Barat, stesyen TV di negara kita terus menyajikan tontonan bagi penulis cukup memualkan. Kebetulan sewaktu penulis menikmati sajian lewat tengah malam, sebuah rancangan realiti “Sehati Berdansa” produk sebuah syarikat TV berbayar negara, ASTRO dipertontonkan oleh sebuah cafĂ©. Barangkali tanpa menyiarkan rancangan seperti itu, tiada pelanggan akan datang. Mengapa penulis mengatakan rancangan realiti yang bertujuan mencari penari professional tersebut memualkan? Pertama melihat akan pemakaian yang dipakai oleh penari kita sudah semestinya hantu segala hiburan tak lain bangsa Melayu sendiri sudah tentu Islam. Memalukan, melihat artis kita berusaha memikat juri professional dalam pertandingan tersebut dengan aksi-aksi seksi mengliurkan. Dimanakah etika malah yang penting prinsip serta kefahaman mereka sendiri mengenai agama? Dimanakah pula letaknya tanggungajawab sosial pihak media dalam membantu mendidik anak bangsa? Cukupkah hanya dengan menawarkan tontonan rancangan murahan seperti itu dapat memajukan negara? Suara puak penyokong hedonisme terus bergema jika ada saja pihak yang menegur akan hiburan yang terlalu banyak dalam negara ini. Bertaklidkan fahaman "kebebasan media" tidak bermakna mereka berhak terus menerus merosakkan pemikiran anak muda dengan hedonisme!! Cukuplah. Berhenti dari menyajikan siaran seperti itu. Cukuplah rancangan realiti yang wujud dalam negara ini. Penulis sedar rayuan seperti ini tidak membuka mata pihak-pihak berkepentingan dalam usaha mereka mengaut keuntungan. Peduli apa mereka mengenai agama!. Peduli apa mereka pada usaha membangunkan masyarakat dengan siaran ilmiah lagi bermutu. Keuntungan berlipat ganda dari penaja tertentu terus ditagih. Masakan mereka ingin membuat rancangan ilmiah jika tiada keuntungan? Tiada penonton. Mereka mendakwa penonton lebih gemar menonton rancangan seperti itu..artis seksi, aksi menggairahkan! Baru syok.. Apa salahnya kita berhibur!! Teriak anjing-anjing hedonisme. Tidak pelik jika kini penulis sendiri memang kurang menonton televisyen sejak tahun kebelakangan ini kerana berasa muak, bosan dan memualkan akan melihat siaran tempatan yang disajikan selain berita dan dokumentari. Terkejut melihat aksi salah seorang peserta yang cuba mencium pasangannya selepas berasa terlalu gembira dikhalayak ramai. (Kamera terus dialih). Malah peserta lain memegang erat perut dan dan pinggang pasangan mereka yang masing-masing bertemakan afro semasa menunggu pengumumuman markah oleh juri. Rosaknya pemikiran masyarakat kita dengan limpahan rancangan seumpama itu..aduhai. TV..oh TV MALAYSIA!!

Masih menanti rancangan berkualiti…