Sunday, June 28, 2009

Mahasiswa perlu membaca


Salam


Mahasiswa yang cakna mengenai isu-isu semasa adalah mahasiswa yang suka membaca. Tanpa membaca seseorang itu sukar untuk mengetahui sebarang isu atau perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Konteks pembacaan pula meluas skop dan bidangnya. Bergantung kepada jenis bahan bacaan yang ingin dibaca atau tahap pemikiran seseorang itu. Adakalanya seseorang itu lebih cenderung hal ehwal politik semata-mata atau pun mungkin juga mengenai buku-buku bercorak pemikiran dan falsafah.


Penulis percaya tidak ramai yang mahasiswa kita yang gemar membaca buku-buku seperti yang dinyatakan di atas. Mungkin diaanggap sesetengah bahan bacaan seperti itu agak sukar untuk difahami dan dihayati berbanding bahan bacaan yang lebih bersifat santai dan bersahaja seperti majalah yang memenuhi pasaran semasa. Tetapi kita dapat lihat, daripada pembacaan seseorang mahasiswa itu, perwatakan dan pemikiran dirinya turut terkesan. Apabila di ajak berbincang dan berdiskusi mengenai seseuatu isu, penuh fakta dan pandangan bernas dikemukakan.


Lebih luas jenis bahan bacaan seseorang mahasiswa, lebih banyak cabang dan bidang yang boleh dikupasnya dengan baik, tidak kira sama ada politik, falsafah, agama, motivasi, sains dan teknologi serta banyak lagi. Mahasiswa pada hari ini tidak boleh menjadi seoarang yang rigid atau kaku. Pelbagaikan jenis bahan bacaan supaya banyak ilmu pengetahuan diperolehi. Pada pandangan penulis, amat rugi jika seseorang itu diperingkat universiti masih belum mempunyai minat dan keinginan untuk membaca sedangkan di kampus ialah pusat segala ilmu pengetahun yang perlu dicedok setiap mahasiswa.


Mulakan minat membaca hanya dengan membaca bahan bacaan yang lebih ringan dan santai seperti komik dan majalah umum yang berinformasi. Kemudian pilih pula buku-buku yang lebih berat dan bersifat pengkhususan. Bergantung kepada kecenderungan individu tersebut, tetapi tidak salah jika mempelbagaikan bahan bacaan kita. Penulis percaya negara kita sekarang mempunyai kemudahan yang baik dalam mendapatkan pelbagai jenis buku. Pada suatu ketika dahulu adalah sukar melihat rakyat Malaysia membaca buku sambil membaca buku mengisi masa luang. Sekarang kita dapat lihat rakyat kita semakin tidak segan untuk membaca walaupun sambil berasak-asak dalam transit aliran ringan (LRT).


Fenomena seperti itu tidak pelik jika kaum lain yang memegang buku atau surat khabar sambil berjalan dan membaca. Agak sukar menemui kaum Melayu membaca di tempat-tempat awam. Tetapi penulis yakin sifat malu dan malas membaca dikalangan bangsa kita dapat diubah dengan kemasukan bahan bacaan yang memenuhi ruang pasaran di negara kita, bukan sahaja murah tetapi juga berkualiti. Diharapkan penerbit dan penulis buku di negara kita terus memperhebatkan usaha dengan menerbitkan pelabagai bahan bacaan untuk rakyat.


Kebanyakkan buku yang diimport agak tinggi harganya berbanding yang diterbitkan dalam negara. Banyakkan lagi kempen dan pesta buku, bukannya konsert setiap minggu. Penulis juga mencadangkan supaya pesta buku berskala besar seperti Pesta Buku Antarabangsa diadakan di setiap negeri. Ayuh mahasiswa, ambil peluang untuk mencari sebanyak mungkin pengetahuan di menara gading.


Selamat membaca!

1 comment:

Sila komen.