Friday, August 7, 2009

Oh pemimpinku..

Salam.

Sudah lama saya tidak menulis dengan nada yang serius. Mungkin beberapa entry sebelum ini lebih kepada catatan peribadi. Maaf diucapkan. Kadang kala apabila keinginan untuk menulis ada saja perkara yang menghalang untuk jari jemari ini untuk menekan keyboard. MALAS. Itulah jawapan yang tepat. Kadangkala kita sibuk mencari faktor penghalang untuk kita berjaya tetapi sebenarnya penghalang tersebut ada pada diri sendiri. Terlupa untuk dibuang. Beruntunglah pada orang-orang yang sentiasa ingin berubah.

Penulisan kali ini ingin menyentuh mengenai pilihan raya kampus yang akan datang. Antara peristiwa penting di setiap universiti yang akan berlangsung tidak lama lagi. Saya sempat melihat beberapa blog para pemimpin mahasiswa sama ada di pihak A mahupun B. Perbualan harian secara langsung antara dua pihak turut saya amati. Nampaknya kedua-dua pihak sedang bersiap siaga. Sibuk mencari pelapis bagi meneruskan agenda perjuangan masing-masing. Tak kira lah di pihak A atau B. Perkembangan semasa politik di luar kampus turut memberi kesan akan corak pemilihan kelak. Barisan pemikir dan penyusun strategi A & B mula menyusun langkah masing-masing. Walau apa jua ideologi yang bakal dibawa oleh pemimpin mahasiswa kelak, diharapkan mereka tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan. Sama ada pihak di luar kampus atau di dalam kampus itu sendiri. Sebaliknya berpeganglah dengan apa yang anda percayai selagi ia selari dengan hukum Syarak dan norma-norma manusia. Janganlah mudah terpedaya. Jika jalan pertengahan itu lebih baik maka lebih elok dipilih jalan tersebut daripada kita sebrono membabi buta mengikut pihak tertentu sahaja. Duduklah berbincang kerana perbincangan itu lebih baik dan menguntungkan kedua-dua pihak. Sekaligus kumpulan yang dipimpin tidak terabai. Diharapkan jua mahasiswa kita semakin matang dalam membuat pemilihan kelak. Janganlah mudah terpedaya dengan muka yang cantik dan tampan, kerana dengan kecantikan wajah belum tentu hebat kepimpinannya. Malah tidak berfungsi langsung dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa. Hadirnya hanya sebagai pemimpin mahasiswa yang memenuhi ruang-ruang poster dan banner sahaja tetapi kurang malah langsung tidak ada yang diperjuangkannya.

Pilihlah calon pemimpin anda kelak atas faktor kewibawaan , keintelektualan, karisma dan kepimpinan calon tersebut bukan lagi kecantikan dan ketampanan wajah sahaja. Bagi kepimpinan sedia ada, penulisan kali ini jua turut mengingati diri yang lemah ini agar sentiasa memperbaiki diri. Kita masih ada ruang dan peluang memperbaiki kesalahan. Janganlah kita memperjudikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakan-rakan dengan hanya ingin merasa keseronokan diraikan seperti orang kenamaan di majlis keraian, mendapat kelebihan itu ini dan sebagainya. Tetapi sebaliknya bertindaklah menjadi pemimipin mahasiswa yang sebenar.

Saya juga bimbang, dengan mahasiswa kita hari ini, iaitu rakan-rakan di sekeliling kita. Kurangnya usaha kita untuk membaca, memahami, menganalisis, memerhati dan sebagainya akan isu-isu semasa di sekelilingnya menjadikan kita mahasiswa hanya menurut apa jua yang telah ditetapkan. Seharusnya kita perlu lebih peka dan prihatin akan apa jua isu yang bermain di sekeliling kita. Kurangkanlah hiburan yang melampau, dan perbanyakkanlah perkara ilmiah. Supaya suatu hari nanti apabila kita terjumpa rakan-rakan, makan bersama, lebih banyak pekara bermanfaat dibincangkan daripada cerita artis.


1 comment:

  1. nice..tapi saya yakin para pelajar universiti lebih arif memilih siapakah yang lebih layak menjadi pemimpin pelajar bagi mereka.. mereka bukan mencari 'idol' untuk disanjung-sanjung tetapi mereka yakin dengan kewibawaan seseorang calon itu. isu kecantikan bagi saya tidak perlulah di bangkitkan walhal ia cuma bonus bagi sesorang.

    ReplyDelete

Sila komen.