JUMAAT (27/11/2009) – Paris
Takbir di pagi raya terus bergema. Sedikit berasa kelainan kerana buat pertama kali beraya di perantauan. Hari Raya Aidiladha disambut secara ringkas. Awal pagi, kami hanya menikmati serunding, nasi impit, mee segera sebagai jamuan raya. Makan bersama-sama mengubati rindu kampung halaman barangkali. Di dalam perjalanan ke stesen keretaapi, kami sempat bertakbir bersama dalam bas. Di stesen tersebut sekali lagi kami melalui pemeriksaan imigresen sebelum meneruskan perjalanan ke Paris dengan menaiki Eurostar (keretapi berkelajuan peluru). Perjalanan ke Paris mengambil masa sekitar 3jam dari Stesen St. Pancras International dengan kelajuan sekitar 180 km/j. Telinga berasa sedikit sakit kerana tekanan udara yang dihadapi sewaktu keretapi meluncur laju di dalam terowong. Perjalanan dari London ke Paris memerlukan tren berkelajuan tinggi tersebut melalui terowong Selat Inggeris selama 20minit. London ditinggalkan dengan penuh kenangan dan Paris mengalukan ketibaan kami.
Sebaik keluar dari terminal kami terus melawat sekitar kota Paris. Tidak jauh dari stesen kereta api, terdapat sebuah kawasan yang didiami oleh golongan miskin, tidak berumah (homeless) dan agak kotor. Suasana di Paris agak berbeza jika dibandingkan dengan London yang lebih teratur. Walaubagaimanapun bangunan lama turut menjadi identiti Paris. Moulin Rouge iaitu sebuah bangunan yang menempatkan pentas tarian terkenal mereka menjadi tumpuan pengunjung. Kawasan itu tidak ubah seperti di Lorong Hj. Taib yang terkenal dengan aktiviti tidak sihat, pelacuran. Malah pelacur dipamerkan dalam cermin seperti barang pameran!. Di kawasan tengah bandar, suasana lebih baik. Keindahan bangunan dengan patung dan arca di merata tempat. Tiang-tiang besar bercirikan Rom menjadi tarikan pelancong. Kami dibawa membeli belah di Galeries Lafayette tidak ubah seperti kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur (Bukit Bintang-KLCC), kawasan mewah yang menawarkan pelbagai jenis butik pakaian. Melihat telatah kutu rayau yang meniaga buah berangan dengan troli pasaraya di hadapan kompleks membeli belah terkemuka tersebut menarik perhatian.
Dari perhatian, masyarakat di sini terdiri daripada pelbagai bangsa. Tidak susah untuk bertemu dengan orang Muslim di tengah kesibukan kota Paris, kota yang terkenal dengan unsur romantis seperti yang diperjelaskan oleh ejen kami. Seterusnya kami dibawa menyelusuri Sg. Seine selama satu jam. Sepanjang menerusi sungai tersebut kami disajikan pemandangan Eifel Tower yang terkenal tersebut. Deretan bangunan lama masih utuh malah tidak ada satu pun bangunan moden didirikan di tebing sungai bagi menjaga keaslian identiti kota Paris. Sungai tersebut cukup bersih dan tidak berbau. Beberapa buah bot pelancong yang dijadikan café terapung dan kediaman berlabuh di tepian sungai. Kita juga mempunyai tarikan seperti itu di Sungai Melaka dengan aktiviti River Cruise menyelusuri bandar Melaka. Panorama malam semakin menarik dengan hiasan lampu berwarna warni pada bangunan di Paris.
Sebelah malam, kami berpeluang singgah di rumah kediaman salah seorang pegawai Kedutaan Malaysia yang juga pakcik kepada Saudara Faiz. Di sana kami berpeluang menikmati jamuan hari raya bersama beberapa pegawai termasuk dari Kedutaan Malaysia, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), UNESCO (Sains & Teknologi), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pelajar-pelajar Malaysia dan masyarakat tempatan. Saudara Abd. Hadi merangkap Yang Dipertua MPP juga turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan penghargaan atas layanan yang diberikan kepada peserta X-UK pada malam tersebut.
No comments:
Post a Comment
Sila komen.