RABU (25/11/2009) – Cambridge
University of Cambridge telah menjangkau usia 800 tahun. Kami disambut oleh deretan bangunan lama dan sebatang sungai yang sangat bersih. Perletakan fakulti di universiti termasyur tersebut sangat berbeza dengan universiti tempatan di negara kita. University of Cambridge terdiri daripada beberapa buah kolej yang menawarkan pelbagai bidang pengajian dan terletak di tengah-tengah masyarakat. Tanpa sebarang pagar, yang memisahkan kawasan kampus, pelajar dan masyarakat tinggal bersama. Semasa kami tiba, para pelajar berduyun-duyun ke kolej masing-masing. Pengangkutan utama adalah basikal dan bas. Difahamkan, caj tertentu dikenakan jika membawa kenderaan masuk ke dalam kawasan kampus. Oleh sebab itu, pelajar mereka lebih gemar mengayuh basikal dengan sangat laju!. Mungkin tidak mahu lewat ke kuliah. Dimana-mana saya dapat melihat deretan basikal disandar pada dinding bangunan yang kelihatan uzur. Malah jika diperhatikan beberapa gereja juga turut dijadikan fakulti.
Di Trumpington Street, kami meluangkan waktu melawat Fitzwilliam Musuem yang menempatkan pelbagai jenis pameran. Saya juga berpeluang menemui sebuah kereta keluaran Proton, model Satria di sana.
Di waktu luang saya mengambil peluang untuk menjelajah sehingga Lensfield Road yang menempatkan Roman Catholic Church dan Scott Polar Research Institute. Dengan perletakan secara berselerak, adalah sukar untuk mencari fakulti atau jabatan pengajian mereka kerana hanya papan tanda kecil saja dilekatkan pada dinding bangunan. Universiti tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan pelajar dari seluruh dunia malah ribuan pelancong. Suasana disana sangat memberangsangkan dengan udara nyaman, tiada kesesakan trafik, pelajar berulang alik dengan basikal dan pemandangan yang sangat indah. Malah. mantan Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj turut pernah belajar di salah sebuah kolej iaitu Kolej St Catharine. Berhampiran kawasan kolej tersebut sebuah kawasan lapang yang dikelilingi bangunan dan sebuah kolam air pancut menempatkan pasar awam iaitu Market Square. Di pasar tersebut tidak ubah seperti pasar tani di negara kita. Pelbagai sayuran, buah-buahan, pakaian, buku terpakai dan barang hiasan ditawarkan pada harga rendah.
Seterusnya kami ke Library University of Cambridge melalui jalan West Road. Malangnya di bangunan tersebut, pelawat hanya dibenarkan melawat di sebuah galeri kecil yang menempatkan beberapa pameran. Disebelah pintu masuk bangunan, kami mengambil kesempatan menunaikan solat dan makan bekalan makanan yang dibawa, serunding bersama roti. Seharian di University of Cambridge, kami ke hotel Webley Plaza yang berlatarbelakangkan Stadium Webley untuk menginap selama 2 hari berikutnya.
No comments:
Post a Comment
Sila komen.