Wednesday, May 19, 2010

Dalam kenangan Pudu Jail


Tersentak saya apabila membaca sebuah artikel di surat akhbar yang menyatakan Pudu Jail yang siap dibina 1895 akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada sebuah projek komersial yang diusahan oleh UDA Holding. Bukit Bintang City Center bakal dibina di atas tapak penjara tersebut yang terletak berhampiran Berjaya Time Square di Jalan Hang Tuah. Pudu Jail kini telah ditutup pada 1996 dan banduan telah dipindahkan ke Penjara Sg. Buloh yang dibina oleh UDA bagi menggantikan tapak tersebut.

Struktur usang tersebut kini terbiar walaupun pada suatu ketika dahulu pernah dibuka kepada orang ramai sebagai muzium oleh Jabatan Penjara Malaysia yang menawarkan pameran bilik kurungan dan demonstrasi hukuman gantung yang pernah menggamit ribuan pengunjung ke situ. Ketika itu penulis masih bersekolah rendah dan terpaksa berasak dan beratur panjang bagi melihat dengan dekat akan suasana di dalam penjara. Sekali sekala ketika berkunjung ke kawasan Bukit Bintang lensa kamera milik penulis tidak pernah lupa menangkap beberapa gambar kenangan di sekitar kawasan tersebut. Namun apa yang mengecewakan penulis adalah kenyataan Pengarah Urusan UDA, Datuk Jaafar Abu Hassan yang menyatakan..



Adaka
h atas dasar tersebut semua bangunan warisan kita di seluruh negara wajar dirobohkan dan digantikan oleh pembangunan moden. Memang tidak dinafikan bahawa pembangunan BBCC bakal memberi pulangan yang lebih lumayan kepada UDA daripada sebuah tembok batu bata berkulat, namun alasan bangunan tersebut tidak disenaraikan dalam UNESCO menyebabkan tidak perlu dipertahankan adalah sesuatu yang tidak wajar. Pudu Jail juga telah menyumbangkan kepada pembinaan karektor di kawasan sekitar dalam dunia seni bina negara kita.

Mengapa tidak diusahakan sebuah usaha pembaikpulihan agar kompleks penjara berbentuk X tersebut dapat dikekalkan. Sektor pelancongan adalah yang terbaik untuk diusahakan seperti aktiviti heritage trail. BBCC yang masih diperingkat kelulusan pihak DBKL perlu mengambil kira Garis Panduan Pengekalan Bangunan Di Dalam Kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur, nilai sejarah & sentimental lain. Namun apakan daya bangunan seperti Pudu Jail untuk bertahan lama di era moden melawan tuntutan "pembangunan moden yang perlu mengorbankan warisan" seperti itu dan banyak lagi di kawasan lain. Deretan rumah kedai tradisional dan bangunan warisan lain kini semakin lama semakin berkurangan bagi memenuhi tuntutan pembangunan. Masyarakat kita sendiri seharusnya menyayangi warisan seni bina sendiri agar dapat dipertontonkan kepada generasi akan datang bukannya dengan hanya mengharapkan UNESCO semata-mata!


Penulis adalah Mahasiswa Tahun3
Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar & Wilayah
Fakulti Alam Bina, UTM

Thursday, April 22, 2010

Minda ligat


Minda ligat


Salam & sejahtera


Dalam minda ligat idea berlegar-legar. Terbiar. Rugi rasanya kalau tidak digunakan sebaik mungkin. Menghadapi minggu peperiksaan dan aktiviti harian yang tidak pernah jemu menjengah penulis. Alahamdulillah selesai sudah menjawab peperiksaan. Semester ke 7 & 8 bakal menjengah. Tahun ke-4 bakal dilalui dengan penulisan PSM. Minggu peperiksaan macam-macam cerita, lihat dan dengar. Ada lagi mahasiswa tidak percaya dengan keupayaan diri sendiri dengan meniru. Tunggang terbalik memikirkan jenis toyol nak bawak dalam dewan atau tandas! Orang lain tergolek-golek menelaah, kita sibuk tulis nota kecil untuk diletakkan dalam poket. Teori bijak pandai di alam kampus ada dua, pertama sila menelaah last minute sebab kita dah tahu soalan yang bakal keluar!. Kedua tak guna study awal, sebab nanti sampai hari exam kita lupa so baik kita study last minute, fresh katanya. Penulis dipelawa untuk mencuba teori mereka, satu semester jadi taruhan. Ada berani..?. Hargai ilmu seperti hargai nyawa. Paling tidak hargailah ilmu kita itu seperti duit anda sendiri.


Profesionalisme apa benda tuh? Pelik saja bunyinya. Kesian melihat rakan yang terpaksa menghadapi masalah disebabkan ketidakupayaan seorang insan bergelar professional. Apa nak buat? Kesian penulis melihat beliau menangis. Sebagai mahasiswa awak ada hak, jika gagal merayu pada beliau sila buat aduan pada pihak yang lebih tinggi dan berkuasa. Kualiti kerja awak memang hebat dan penulis yakin anda memang layak. Kalau tidak bagaimana dapat dean list setiap semester?. Dia ada masalah peribadi, biarkan. Kepada semua penjawat awam bekerjalah dengan sebaik mungkin, bertugas dengan penuh etika dan bertanggungjawab. Ini masalahnya apabila mencampur aduk urusan kerja dengan politik, masalah peribadi dan lain-lain. Time mengeteh kita sembang politik. Semoga perkhidmatan yang diberikan penjawat awam di negara kita semakin berkualiti pada suatu hari nanti.


“Oh tidak, ini bukan tugas saya. Sepatutnya tugas unit ini, jabatan ini..”. Menolak tanggungjawab kepada pihak tertentu memang senang. Melaksanakan tanggungjawab pula susah. Sepatutnya kita seharunya berusaha mencari usaha bukannya berusaha memikirkan alasan. Jika bertahun-tahun asyik “tolak-tolak” sampai bila nak ciap kerja?. Buatlah tugas yang diberikan seperti mana sesuai dengan bidang tugas dan skop kerja jabatan atau unit kita. Jika ada kelapangan apa salahnya keluar sedikit daripada bidang tugas dan kelaziman, membantu? Jangan kata nak membantu, kerja sedia ada pun beribu alasan. Jom kerja.


Isu-isu semasa?. Isu-isu yang sedang berlaku disekeliling anda. Buang anak, kahwin awal, pilihan raya kecil sehingga kisah budak menipu dengan gelaran kerabat diraja. Semuanya terpampang di media massa. Dikupas dan dibincang bersama di restoran mamak mahupun pejabat. Kepincangan institusi bekerluarga? Bagaimana perkara ini boleh menyumbang kepada masalah yang menyelubungi masyarakat kita. Ramai pemikir di negara kita runsing. Kita sedar? Kita peduli?. Ambil tahu dan mari bantu sama.


Setiap perkara yang berlaku disekeliling ada pengajaran dan moral yang boleh kita pelajari. Tinggal lagi hanya sejauh mana diri kita ingin mengambil peduli dan cakna. Tapi awas!. Jangan sampai ambil tahu sahaja. Tidak cukup. Sebaiknya ambil tahu dan ambil tindakan. Barulah cemerlang diri. Tak gitu?

Monday, March 22, 2010

Rasuah itu BUDAYA

Benarkah dakwaan bahawa industri pembinaan pada hari ini penuh dengan rasuah dan ketirisan intergriti..bermula dari peringkat perancangan sehinggalah suatu pembangunan itu siap sepenuhnya. Budaya memberi duit kopi/ duti pelincir seolah-olah suatu kemestian dalam memastikan kelangsungan sesebuah syarikat atau firma dalam industri pembinaan. Sama ada peringkat kelulusan projek mahupun membeli bahan-bahan binaan.. sejauh manakah perkara tersebut berlaku. Adakah esok lusa, apabila aku keluar dan berkecimpung dalam industri ini, aku dapat memelihara diri daripada terlibat secara langsung atau tidak dalam duit haram ini? Masih adakah insan-insan yang mampu memelihara diri daripada terlibat dalam hal seperti ini. Adakah aku juga perlu turut serta menyuap anak bini, dengan sumber wang yang haram? Adakah rasuah itu suatu BUDAYA yang mesti dilakukan dalam meneruskan KEHIDUPAN. Sedih melihat ada insan-insan yang bangga dengan hasil-hasi l seperti itu.

Friday, March 12, 2010

Aku PENDIDIK?

Aku PENDIDIK
Ada seperkara yang boleh dipelajari hari ini, dimana kita ingin meletakkan penghormatan pada seseorang yang layak mengikut statusnya namun perlakuannya pula tidak menggambarkan beliau patut diberi penghormatannya. Adakah dengan berlagak 'sekepala' kita akan diterima sekumpulan pihak? jawapannya TIDAK. Walau apa jua matlamat kita dalam segala urusan harian kita, tidak perlu seseorang itu mengorbankan sebuah nilai, kepercayaan malah prinsip hidup sendiri supaya dapat diterima oleh orang lain. Sebagai contoh, apabila kita diarahkan melakukan sesuatu yang tidak elok atau berfaedah oleh ketua kita, haruskah kita mengikut buta tuli walaupun kita mempunyai prinsip bahawa dengan melakukan perlakuan tersebut tidak mendatangkan manfaat apatah mendapat dosa.
Sejauh mana apabila timbul konflik dalam diri, kita dapat mempertahankan prinsip hidup tersebut? Kisah para sahabat yang diseksa kerana memelihara kesucian agama namun prinsip, kepercayaan mereka tetap terpelihara seharusnya menjadi tauladan. Dalam konteks alam kampus, barisan pendidik sewajarnya mempunyai karektor sebagai seorang pendidik. Tidak perlu terikut dengan jiwa muda walaupun kita sememangnya muda. Seharusnya kita perlu menampilkan imej yang lebih sihat, benar-benar cintakan ilmu dan suka sampaikan ilmu, bukannya mencari kesalahan atas tujuan mengaibkan muridnya. Seharusnya kita perlu menjadi pendidik yang hebat. Mungkin pelik bunyinya apabila anak murid menasihati gurunya..tapi itulah realiti dunia.
Saya percaya ramai pendidik yang benar-benar ikhlas dalam menyampaikan ilmu..dan saya kenal mereka. Namun sedikit sebanyak pengalaman hari ini membuka perspektif baru dalam pemikiran saya. Usah bercita-cita menggapai bintang, jika masih belum membuat roketnya..
Ayuh pendidik jom UBAH!
Ayuh mahasiswa jom RESPECT!

Monday, March 8, 2010

Motivasi


"menuju puncak kejayaan, berusaha dengan bersungguh-sungguh"

Seladang...

USR-FAB


6 Mac 2010, Kg. Kong Kong Laut-Seramai 150 mahasiswa dari Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia telah mengikuti program berasaskan khidmat masyarakat, University Social Responsibility-Faculty of Built Environment (USR-FAB). Program USR-FAB ini telah dianjurkan secara bersama Majlis Perwakilan Pelajar UTM (MPP UTM) bersama Persatuan Mahasiswa Perancang Bandar dan Wilayah (PEWIBAWA), Persatuan Arkitek (Architect), Persatuan Seni Bina Lanskap (Earth) dan Persatuan Juru Ukur Bahan (QS-Bina) dan telah mendapat kerjasama dari pihak Majlis Perbadaran Pasir Gudang (MPPG).


Program USR-FAB diadakan bagi menggalakkan mahasiswa UTM dengan kerja-kerja kemasyarakatan seperti gotong royong selain menerapkan pelbagai kemahiran insaniah dan nilai-nilai kelestarian dalam jiwa mahasiswa. Sek. Keb Kong Kong Laut, Pasir Gudang telah dipilih sebagai sekolah angkat USR-FAB bagi menjalankan aktivti tersebut.


Terdapat pelbagai aktivti telah dianjurkan sempena USR-FAB seperti mural, menanam pokok, memperhiaskan halaman sekolah dengan kerja-kerja lanskap, sukaneka, sesi motivasi dan sukaneka. Selain itu pelbagai sumbangan telah diterima oleh pasukan USR-FAB seperti sebilangan naskah Al Quran dan Yassin bagi kemudahan surau sekolah yang telah didermakan oleh Pusat Islam UTM, peralatan teknikal dari MPPG, pelbagai jenis hiasan tumbuhan dari Pusat Nurseri UTM serta sumbangan peribadi dari pelabagai pihak lain.


Pihak sekolah melalui Guru Besar iaitu En. Basir B. Hj. Konit turut menyusun sebuah lawatan ke kilang perusahaan kerepek serta aktiviti menyelusuri Sg. Johor dengan bot. Sesi sebelah petang telah dipenuhi dengan slot motivasi kecemerlangan yang disampaikan sendiri oleh pengarah program, Noor Aimran B Samsudin merangkap Setiausaha Agung MPP. Barisan fasilitator turut membantu menjayakan slot LDK bersama-sama pelajar sekolah. Di sebelah petang, acara sukaneka, perlawanan bola sepak antara USR-FAB dan belia tempatan telah mendapat sambutan meriah.


Antara acara yang dipertandingkan dalam sukaneka ialah tarik tali dan pelbagai permainan lain. Kehadiran penduduk kampung memeriahkan lagi aktiviti tersebut. Dalam perlawanan persahabatan bola sepak, pasukan USR-FAB telah tewas kepada pasukan belia tempatan sebanyak 3-1. Program USR-FAB turut disertai oleh mahasiswa antarabangsa yang menuntut di UTM iaitu dari Indonesia (1 orang), Kazakhstan (1 orang), dan Nigeria (2 orang).


Sepasukan petugas dari Jabatan Perkhidmatan Awam, Johor Bahru turut hadir berada di sekolah sepanjang hari sebagai langkah berjaga-jaga. Majlis penyampaian hadiah diadakan di sebalah petang manakala acara perasmian penutupan disempurnakan oleh Dekan Fakulti Alam Bina, Prof. Madya Dr. Ahmad Nazri B. Muhd. Ludin pada sebelah malam. Secara keseluruhan program USR-FAB telah mencapai matlamatnya selain dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mahasiswa dengan masyarakat setempat sekaligus memperkenalkan aktiviti kelestarian kepada mereka.

Disediakan oleh,


(NOOR AIMRAN B SAMSUDIN)

Pengarah,

USR-FAB 2010

*Setiausaha Agung MPP UTM Sesi 2009/2010

Friday, January 29, 2010

Keputusan PRK MPP 20092010

Berikut adalah keputusan PRK MPP 2009/2010

Kerusi Umum:


1. Muhammad Zaki Bin Omar - 7837
2. Nor Amanina Binti Ab Rahim - 7335
3. Mohd Rozi Bin Harun - 6778
4. Muhammad Miqdad Bin Che Mohd Rozi - 6360
5. Nur Syazana Binti Azahar - 5992
6. Ahmat Rajab Bin Khairul Yusri - 5899
7. Muhammad Uzair Bin Azizan - 5739
8. Farah Hanim Mohd Dexter Howell - 5729
9. Yin Leang Huat - 5659
10. Siti Mariam Abdul Lathiff - 5655

Kerusi Fakulti:

Fakulti Alam Bina:
1. Nurfatin Aqilah Binti Mohd Yusof -547
2. Noor Aimran Bin Samsudin - 503
3. Mohd Ainuddin Bin Khairuddin - 403

Fakulti Biosains Dan Biokejuruteraan:
1. Iezzat Emeer Bin Affandi - 189
2. Nor Hafiza Binti Omar - 183
3. Khairina 'Izzati Binti Amir Hussain - 149

Fakulti Kejuruteraan Awam:
1. Siti Amirah Binti Basirun - 683
3. Nurulhayati Bte Md Yusoff - 645
2. Mohd Affendi Bin Ismail - 621

Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan:
1. Ng Ken Hoo (menang tanpa bertanding)
2. Jihan Atikah Binti Md Jalani (menang tanpa bertanding)
3. Nazirahhanim Binti Sharipudin (menang tanpa bertanding)

Fakulti Kejuruteraan Elektrik:
1. Nur Azim Fahada Bin Ahmad - 870
2. Ku Abd Muhyi Bin Ku Abd Hamid - 841
3. Umi Kalsom Binti Mohamad Yusof - 633

Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli:
1. Izam Ikhwan Bin Kamaruddin - 918
2. Nor Aida Binti Yusoff - 713
3. Ahmad Syairazi Bin Rasid - 653

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal:
1. Muhammed Amirul Asyraf bin Hasnan - 822
2. Mohd Fadzli Bin Ismail - 818
3. Nurul Fatiha Binti Mesbah - 805

Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi:
1. Wan Ahmad Hazwan Bin Wan Daud - 545
2. Nur Syahida Binti Anuar - 472
3. Chew Jian Long - 467

Fakulti Pendidikan:
1. Mohd Sharhan Bin Abu Bakar - 636
2. Anis Bin Abd Wahab - 622
3. Ummu Sulaim Binti Osman - 542

Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia:
1. Berlina Dolores Doyou - 885
2. Mohd Hazizi Bin Ishak - 644
3. Loke Wei Kit - 458

Fakulti Sains:
1. Nurul Khalida Binti Hidzir - 772
2. Iskandar Zulkarnain Bin Mohamad Idris - 744
3. Lee Wei Bin - 540

Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat:
1. Mohamad Ariff Bin Makhfudz - 534
2. Nur Aqilah Binti Sabri - 529
3. Chaw Sau Shen - 463

Kampus UTMKL
5 Orang calon bebas telah menang tanpa bertanding

Monday, January 18, 2010

Apa itu MPP?

Apa itu MPP?


Ditulis oleh : NOOR AIMRAN BIN SAMSUDIN

Mahasiswa Tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar & Wilayah

Fakulti Alam Bina


Setiap tahun kepimpinan silih berganti. Melalui pemilihan demokrasi, mahasiswa memilih perwakilan mereka melalui sebuah pilihan raya kampus. Siapakah MPP? MPP merupakan singkatan kepada Majlis Perwakilan Pelajar atau Majlis Perwakilan Mahasiswa (belum diwartakan). Majlis ini merupakan sebuah entiti organisasi tersusun yang diiktiraf oleh pentadbiran universiti bagi mewakili suara mahasiswa yang. Adalah mustahil pihak pentadbiran dapat mendengar semua pandangan, komen, cadangan dan aduan dari setiap mahasiswa di sesebuah kampus. Oleh itu diwujudkan 2 kategori kerusi bagi mewakili mahasiswa di peringkat kerusi umum dan fakulti manifestasi gambaran pilihan raya di luar iaitu kerusi parlimen dan DUN. Adalah tidak benar seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak, bahawa MPP hanya sebagai sebuah badan eksekutif yang menerima pelbagai kelebihan & kemudahan dari pihak pentadbiran tetapi gagal dalam menyuarakan isu kebajikan mahasiswa di kampus. Jika hendak dikira, terlalu banyak mesyuarat telah dianjurkan di pelbagai peringkat, bagi memperjuangkan agenda kebajikan mahasiswa sehingga peringkat nasional.


Pada pendapat saya faktor tempoh kepimpinan yang terlalu singkat (setahun bagi setiap sesi) untuk melakukan perubahan yang benar-benar efisyen adalah salah satu faktor mengapa sering kali terdapat pihak yang mengatakan MPP gagal membuat sebarang perubahan secara drastik. Walhal jika dilihat kepada pelbagai cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak pentadbiran, pelaksanaannya mungkin mengambil masa tertentu, barangkali sehingga kita sebagai mahasiswa itu sendiri sudah bergelar graduan dan telah bekerja! barulah sesuatu pembangunan dapat dinikmati oleh adik-adik kita. Saya pernah terbaca bahawa, hasil suatu perancangan bukanlah untuk kita nikmati semasa zaman kita sebaliknya untuk generasi masa hadapan. Begitu juga dengan kita yang sebenarnya, pelbagai kemudahan yang dinikmati sekarang telah dirancang oleh kepimpinan sebelumnya.


Namun itu bukanlah alasan untuk perwakilan kita di barisan hadapan untuk bersenang-lenang. Takkala sebelah pagi bergegas ke dewan kuliah menuntut ilmu di malam hari pula bergelumang di meja persidangan bagi menyelesaikan masalah atau menguruskan aktiviti pembangunan mahasiswa. Di hujung minggu jika ada sahabat kita yang mampu untuk pulang ke kampung halaman bertemu ahli keluarga, perwakilan kita pula sebulan sekali belum tentu dapat pulang ke rumah kerana tuntutan menghadiri pelbagai program, seminar, persidangan dan memenuhi jemputan yang lain. Adalah tidak wajar jika ada pihak tertentu yang cuba menjatuhkan kreadibiliti kepimpinan tertinggi mahasiswa iaitu MPP dimana terletaknya kepercayaan beribu-ribu mahasiswa yang mengundi perwakilan mereka.


Ini adalah perkara normal setiap kali menjelang PRK. Tidak hairanlah apabila PRK tiba, maka munculah kumpulan tertentu yang cuba memainkan sentimen tertentu serta mewujudkan perasaan ketidakpuashatian, seolah-olah ditindas bagi meraih simpati murahan mahasiswa yang nyata lebih bijaksana dan tidak mudah terpengaruh akan percaturan seperti ini setiap kali PRK. Mengapa setiap kali PRK maka barulah bertin-tin petisyen diedar yang kononnya mengandungi sokongan seluruh mahasiswa kampus mengenai ketidakadilan PRK berbunyi. Sedangkan setahun merupakan tempoh yang lama, tidak pula ada bantahan secara rasmi kepada KPT atau pentadbir. Malah setiap tahun tidak pula dikemukakan bukti penyelewengan tersebut.


Takkala masih ada yang ikhlas, berkerja keras setiap hari bagi memastikan segala aduan dan permasalahan mahasiswa dapat diselesaikan namun masih ada segelintir pihak yang hanya pandai menabur fitnah, tohmahan dan kritikan semata-mata tanpa bukti yang kukuh malah cadangan bernas. Mengapa kesilapan dan kesalahan itu yang dicari? Mengapa tidak bersama-sama mahasiswa lain untuk turut membantu melontarkan idea-idea bernas bagi membantu membangunkan mahasiswa secara holistik?


Tidak dinafikan masih ada individu tertentu yang culas melakukan tanggungjawab walaupun telah dipilih dan dipertanggungjawab oleh pengundi mereka. Perkara ini pada hemat saya perlu dilihat dalam konteks diri sendiri. Walaupun kita bukanlah seorang pemimpin, kita masih perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri, apatah lagi perwakilan kita yang dipilih oleh beribu-ribu pengundi mereka!. Pemimpin tidak mampu berdiri tanpa penyokong dan pengundi iaitu mahasiswa sekalian yang juga terdiri daripada rakan-rakan kita. Kerjasama serta hubungan yang membina antara perwakilan pelajar, mahasiswa dan pihak pentadbiran merupakan kunci terpenting dalam usaha membangunkan pembangunan mahasiswa secara holisitik.


Tidak cukup dengan hanya memakai pakaian bewarna cerah, menggantung poster, berarak sana sini, menyanyi lagu-lagu tema, menuduh pihak tertentu melalui flyers dan melakukan pelbagai provokasi yang tidak sihat malah melanggar norma-norma peraturan sedia ada semasa tempoh berkempen dapat memastikan calon yang dipilih mampu melaksanakan tugas dengan baik setahun berikutnya. Mungkin ada calon yang sanggup menyimbah cat pada kenderaan sendiri bagi meraih simpati murahan dan pelbagai strategik tidak sihat yang dicedok dari luar kampus bagi memenangi PRK kali ini. Oleh hal demikian, saya ingin mengajak anda sekalian, para mahasiswa untuk terus bersama-sama memilih barisan perwakilan pelajar yang benar-benar berkualiti, berkarisma, berilmu dan mampu membawa perubahan yang lebih baik kelak.


Ayuh sebagai seoarang mahasiswa, kita seharusnya tidak mudah terpedaya dengan provokasi dan penulisan yang tidak membina di blog-blog picisan sempena PRK kali ini. Selidiklah terlebih dahulu kerana anda seorang yang bijak. Mahasiswa yang bijak haruslah sentiasa responsif serta aktif. Segala sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh mahasiswa sekalian amatlah dihargai oleh kami di saf-saf kepimpinan mahasiswa terdahulu. Semoga legasi kepimpinan yang benar-benar ikhlas, tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu dan kepimpinan terarah dapat dihasilkan dalam PRK tahun 2010 ini. InsyaAllah. Sekian setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada anda, mahasiswa UTM.


Selamat Mengundi!

Monday, January 11, 2010

Hasutan

“Hasutan”

Ditulis oleh : Noor Aimran Bin Samsudin

Dari pemerhatian penulis, semakin hampir dengan PRK maka makin banyak provokasi yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka ini mungkin terdiri daripada kumpulan-kumpulan tertentu atau pihak luar yang cuba mencemari PRK kali ini. Atas apa jua alasan pihak terbabit, pada hemah saya, provokasi seperti itu bukanlah suatu yang perkara yang sihat. Apatah lagi kejadian-kejadian yang sepatutnya tidak layak berlaku di dalam sebuah gudang ilmu ini. Saya pasti mereka ini hanya cuba menangguk air keruh bagi mendapat perhatian pihak tertentu. Dari pemerhatian saya juga, terdapat beberapa blog segera atau blog picisan yang dihasilkan sempena PRK kali ini dengan tujuan bagi melaga-lagakan kumpulan-kumpulan tertentu serta mempengaruhi mahasiswa bahawa tidak perlu turun mengundi.

Selama ini PRK yang belangsung di kampus kita berjalan dengan lancar dan aman, jika hendak dibandingkan dengan kejadian dibeberapa kampus di Lembah Klang. Alahamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku setakat ini di kampus kita. Jika tahun kebelakangan ini para calon dari kumpulan-kumpulan tertentu masih boleh bertanding dan bersaing secara sihat, membina dan bertanggungjawab mengapa PRK kali ini, ada pihak yang ingin cuba mewujudkan suasana kerisauan, saling tidak mempercayai akan kepimpinan yang bakal dipilih dan sebagainya. Ingin saya lontarkan kepada anda beberapa persoalan, adakah dengan memperlakukan provokasi yang tidak sihat, ia mampu melahirkan kepimpinan yang benar-benar berkualiti? bertanggungjawab? amanah?. Adakah dengan menyimbah cat, menyerang peribadi seseorang dengan penulisan yang tidak bertanggungjawab itu mampu memastikan kemenangan calon anda tersebut bakal membawa perubahan yang lebih baik? Saya pasti, perbuatan keji mengeji melalui medium facebook dan blog adalah suatu perkara yang benar-benar tidak bertangungjawab dalam konteks mahasiswa sebagai golongan cerdik pandai.

Pada pendapat saya, ‘tangan-tangan ghaib’ yang cuba mempengaruhi mahasiswa dengan aktiviti yang tidak bermoral ini tidak hadir ke Perjumpaan Bulanan Naib Cancelor pada hari ini yang bertemakan “Berpaksi Inovasi Mengangkasa Universiti Menjana Nilai Tinggi”. Mereka gagal menghayati hasrat UTM dalam usaha untuk terus memacu kejayaan dan bergerak pantas ke hadapan. Mungkin kejadian-kejadian ini bersifat sementara namun, perkara tidak sihat ini haruslah dikekang dari awal supaya tidak menjadi barah dalam masyarakat apabila keluar. Adalah benar, realitinya beberapa strategik harus disusun dalam usaha memenangi PRK. Namun mengapa perkara yang tidak sihat dijadikan sebagai budaya bagi mencapai matlamat? Mengapa tidak, golongan anonymous di belakang setiap kumpulan ini memainkan peranan yang lebih sihat dan membina? Bahkan para calon yang menyatakan hasrat untuk bertanding tidak tahu menahu akan usaha dan kerja-kerja kotor golongan ketiga ini.

Tidak hairan apabila bertanya kepada mahasiswa mengenai politik, persepsi negatif yang wujud benar-benar menyedihkan mereka. Sebenarnya masih ada individu yang benar-benar ikhlas dalam melibatkan diri dalam kepimpinan kampus. Ia bukan sahaja melibatkan pengorbanan wang ringgit, masa dan tenaga dalam menjaga perihal kebajikan mahasiswa malah menyuarakan pelbagai isu di peringkat nasional kepada kepimpinan negara. Itulah antara peranan sebuah majlis tertinggi yang dipilih oleh seluruh mahasiswa bagi mewakili mereka. Politik kampus seharusnya menjadi sebuah platform terbaik melahirkan kepimpinan di masa hadapan. Saya percaya, kepimpinan yang baik terhasil dari suasana yang baik juga. Oleh hal demikian saya ingin menyeru kepada para penulis blog, Facebook dan pelbagai medium lain supaya tidak menghasut, mengugut, dan menuduh tanpa usul periksa. Jadilah mahasiswa yang lebih bertanggungjawab dan beretika dalam penulisan anda.

Penulis adalah,
Pengerusi Jabatan Perhubungan Luar & Pengantarabangsaan
Majlis Perwakilan Pelajar UTM 0809