Monday, January 18, 2010

Apa itu MPP?

Apa itu MPP?


Ditulis oleh : NOOR AIMRAN BIN SAMSUDIN

Mahasiswa Tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar & Wilayah

Fakulti Alam Bina


Setiap tahun kepimpinan silih berganti. Melalui pemilihan demokrasi, mahasiswa memilih perwakilan mereka melalui sebuah pilihan raya kampus. Siapakah MPP? MPP merupakan singkatan kepada Majlis Perwakilan Pelajar atau Majlis Perwakilan Mahasiswa (belum diwartakan). Majlis ini merupakan sebuah entiti organisasi tersusun yang diiktiraf oleh pentadbiran universiti bagi mewakili suara mahasiswa yang. Adalah mustahil pihak pentadbiran dapat mendengar semua pandangan, komen, cadangan dan aduan dari setiap mahasiswa di sesebuah kampus. Oleh itu diwujudkan 2 kategori kerusi bagi mewakili mahasiswa di peringkat kerusi umum dan fakulti manifestasi gambaran pilihan raya di luar iaitu kerusi parlimen dan DUN. Adalah tidak benar seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak, bahawa MPP hanya sebagai sebuah badan eksekutif yang menerima pelbagai kelebihan & kemudahan dari pihak pentadbiran tetapi gagal dalam menyuarakan isu kebajikan mahasiswa di kampus. Jika hendak dikira, terlalu banyak mesyuarat telah dianjurkan di pelbagai peringkat, bagi memperjuangkan agenda kebajikan mahasiswa sehingga peringkat nasional.


Pada pendapat saya faktor tempoh kepimpinan yang terlalu singkat (setahun bagi setiap sesi) untuk melakukan perubahan yang benar-benar efisyen adalah salah satu faktor mengapa sering kali terdapat pihak yang mengatakan MPP gagal membuat sebarang perubahan secara drastik. Walhal jika dilihat kepada pelbagai cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak pentadbiran, pelaksanaannya mungkin mengambil masa tertentu, barangkali sehingga kita sebagai mahasiswa itu sendiri sudah bergelar graduan dan telah bekerja! barulah sesuatu pembangunan dapat dinikmati oleh adik-adik kita. Saya pernah terbaca bahawa, hasil suatu perancangan bukanlah untuk kita nikmati semasa zaman kita sebaliknya untuk generasi masa hadapan. Begitu juga dengan kita yang sebenarnya, pelbagai kemudahan yang dinikmati sekarang telah dirancang oleh kepimpinan sebelumnya.


Namun itu bukanlah alasan untuk perwakilan kita di barisan hadapan untuk bersenang-lenang. Takkala sebelah pagi bergegas ke dewan kuliah menuntut ilmu di malam hari pula bergelumang di meja persidangan bagi menyelesaikan masalah atau menguruskan aktiviti pembangunan mahasiswa. Di hujung minggu jika ada sahabat kita yang mampu untuk pulang ke kampung halaman bertemu ahli keluarga, perwakilan kita pula sebulan sekali belum tentu dapat pulang ke rumah kerana tuntutan menghadiri pelbagai program, seminar, persidangan dan memenuhi jemputan yang lain. Adalah tidak wajar jika ada pihak tertentu yang cuba menjatuhkan kreadibiliti kepimpinan tertinggi mahasiswa iaitu MPP dimana terletaknya kepercayaan beribu-ribu mahasiswa yang mengundi perwakilan mereka.


Ini adalah perkara normal setiap kali menjelang PRK. Tidak hairanlah apabila PRK tiba, maka munculah kumpulan tertentu yang cuba memainkan sentimen tertentu serta mewujudkan perasaan ketidakpuashatian, seolah-olah ditindas bagi meraih simpati murahan mahasiswa yang nyata lebih bijaksana dan tidak mudah terpengaruh akan percaturan seperti ini setiap kali PRK. Mengapa setiap kali PRK maka barulah bertin-tin petisyen diedar yang kononnya mengandungi sokongan seluruh mahasiswa kampus mengenai ketidakadilan PRK berbunyi. Sedangkan setahun merupakan tempoh yang lama, tidak pula ada bantahan secara rasmi kepada KPT atau pentadbir. Malah setiap tahun tidak pula dikemukakan bukti penyelewengan tersebut.


Takkala masih ada yang ikhlas, berkerja keras setiap hari bagi memastikan segala aduan dan permasalahan mahasiswa dapat diselesaikan namun masih ada segelintir pihak yang hanya pandai menabur fitnah, tohmahan dan kritikan semata-mata tanpa bukti yang kukuh malah cadangan bernas. Mengapa kesilapan dan kesalahan itu yang dicari? Mengapa tidak bersama-sama mahasiswa lain untuk turut membantu melontarkan idea-idea bernas bagi membantu membangunkan mahasiswa secara holistik?


Tidak dinafikan masih ada individu tertentu yang culas melakukan tanggungjawab walaupun telah dipilih dan dipertanggungjawab oleh pengundi mereka. Perkara ini pada hemat saya perlu dilihat dalam konteks diri sendiri. Walaupun kita bukanlah seorang pemimpin, kita masih perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri, apatah lagi perwakilan kita yang dipilih oleh beribu-ribu pengundi mereka!. Pemimpin tidak mampu berdiri tanpa penyokong dan pengundi iaitu mahasiswa sekalian yang juga terdiri daripada rakan-rakan kita. Kerjasama serta hubungan yang membina antara perwakilan pelajar, mahasiswa dan pihak pentadbiran merupakan kunci terpenting dalam usaha membangunkan pembangunan mahasiswa secara holisitik.


Tidak cukup dengan hanya memakai pakaian bewarna cerah, menggantung poster, berarak sana sini, menyanyi lagu-lagu tema, menuduh pihak tertentu melalui flyers dan melakukan pelbagai provokasi yang tidak sihat malah melanggar norma-norma peraturan sedia ada semasa tempoh berkempen dapat memastikan calon yang dipilih mampu melaksanakan tugas dengan baik setahun berikutnya. Mungkin ada calon yang sanggup menyimbah cat pada kenderaan sendiri bagi meraih simpati murahan dan pelbagai strategik tidak sihat yang dicedok dari luar kampus bagi memenangi PRK kali ini. Oleh hal demikian, saya ingin mengajak anda sekalian, para mahasiswa untuk terus bersama-sama memilih barisan perwakilan pelajar yang benar-benar berkualiti, berkarisma, berilmu dan mampu membawa perubahan yang lebih baik kelak.


Ayuh sebagai seoarang mahasiswa, kita seharusnya tidak mudah terpedaya dengan provokasi dan penulisan yang tidak membina di blog-blog picisan sempena PRK kali ini. Selidiklah terlebih dahulu kerana anda seorang yang bijak. Mahasiswa yang bijak haruslah sentiasa responsif serta aktif. Segala sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh mahasiswa sekalian amatlah dihargai oleh kami di saf-saf kepimpinan mahasiswa terdahulu. Semoga legasi kepimpinan yang benar-benar ikhlas, tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu dan kepimpinan terarah dapat dihasilkan dalam PRK tahun 2010 ini. InsyaAllah. Sekian setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada anda, mahasiswa UTM.


Selamat Mengundi!

2 comments:

  1. kes lompat parti ada tak dalam kalangan MPP?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.
    Tumpang tanya saudara, saya bakal mengundi untuk calon umum di UTM Skudai,adakah calon MPP lain mempunyai blog? Tidak jumpalah.
    Perlu pilih sebelum memilih.

    Mahasiswa di sebarang ingin tahu.

    ReplyDelete

Sila komen.