Saturday, October 17, 2009

Universiti berhutang kepada mahasiswa??

Salam

Adakah wajar keunggulan mahasiswa di IPTA diukur oleh pencapaian PNGK semata-mata?? Bagaimana dengan indikator lain? Bagi penulis pencapaian akademik sahaja tidak mencukupi, bagaimana pula dengan pembangunan sahsiah dan modal insan. Bagaimana pula kita mampu mengukur tahap keunggulan mahasiswa tersebut jika indikator tersebut pula diperkenalkan. Sukar untuk mengukur sejauh manakah kebenaran persoalan yang dilontarkan oleh penulis kerana penulisan ini hanya mengajak kita semua untuk memikirkan kembali proses penambahbaikan sesuatu sistem tersebut. Kini mahasiswa sudah boleh mendabik dada jika PNGK beliau menunjukkan 3.50 ke atas! Tetapi sejauh mana pula kualiti seseorang mahasiswa tersebut? Kita perlu memahami apakah itu kualiti dan apakah pula itu kuantiti. Saya rasa terlalu banyak penulisan mengenai pembangunan modal insan yang terdapat di pelbagai jenis bahan bacaan. Negara masa kini bukan sahaja menuntut kuantiti para doktor, jurutera, perancang bandar , arkitek dan sebagainya yang ramai, tetapi graduan yang berkualiti itu lebih dituntut pada sesuatu masa. Malangya masyarakat pada hari ini masih kurang peka malah tidak pernah mengambil tahu bahawa mereka yang cemerlang pada hari ini belum tentu berkualiti seiring dengan catatan PNGK di atas kertas. Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk memperlekehkan graduan yang lulus dengan cemerlang. Malah persoalan penulis ternyata salah dan boleh diabaikan jika benar graduan yang dihasilkan mempunyai kualiti yang setanding dengan kecemerlangan di atas kertas peperiksaan. Kecermerlangan itu sendiri mempunyai maksud yang sangat meluas. Bukan terhad kepada kejayaan peperiksaan semata-mata. Seperti mana dari alam persekolahan dan seterunya universiti pemahaman "cemerlang peperiksaan, cemerlang segalanya" masih sukar dihapuskan. Mungkin pemikir dan pihak pentadbiran universiti boleh mencipta suatu sistem pendidikan yang lebih baik berdasarkan pembangunan modal insan yang holistik dan tidak lagi bergantung kepada pada apa yang tertera pada kertas keputusan peperiksaan. Masukkan sekali ujian personaliti dan indikator pelbagai kemahiran lain sebagai sebahagian tahap pengukuran kecemerlangan mahasiswa. Setiap tahun jelas, pihak industri masih menyatakan masalah sama apabila para graduan baru diambil bekerja di syarikat mereka, kurangnya kemahiran komunikasi, tahap kepimpinan lemah, tidak menepati masa dan sebagainya. Sudah tiba masanya jadikan penganjuran aktivti atau program oleh mahasiwa di universiti adalah wajib bagi setiap semester pengajian. Bukannya pilihan, tetapi wajib. Berikan kredit yang lebih kepada mereka yang sememangnya aktif dalam berorganisasi dan berpersatuan. Sama ada dalam bentuk imbuhan kewangan atau kredit peperiksaan. Tidak cukup hanya mewajibkan pengambilan subjek kokurikulum 2 kredit sepanjang pengajian. Pihak universiti seharunsya wajar meningkatkan peruntukan tahunannya dalam aktivti mahasiswa di kampus. Maka tidaklah pula terjadi mahasiswa seringkali terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang besar sehinga ribuan ringgit terlebih dahulu sebelum mendapat 'kerjasama' pihak universiti dalam meluluskan peruntukan program berimpak tinggi walaupun kertas kelulusan program telah dikeluarkan. Malah lebih terseksa mahasiswa apabila pihak universiti pula liat untuk menjelaskan kembali wang pendahuluan mereka sehingga berbulan lamanya dengan alasan "ini adalah standard proses" dan pelabagai karenah birokrasi lain. Ayuh jangan dibiarkan mahasiswa berkualiti menjadi layu seperti lain kerana perkara teknikal seperti ini.

No comments:

Post a Comment

Sila komen.