Friday, September 18, 2009

Amanah & Tanggungjawab


Amanah & Tanggungjawab


Kita tidak boleh melarikan diri daripada tanggungjawab. Tidak kira apa jua jenis tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada seseorang tersebut sama ada sebagai seorang hamba kepada penciptaNya, seorang anaknya kepada ibu bapanya, murid, mahasiswa, ahli politik, petani dan masyarakat umumnya. Setiap insan perlu melaksanakan akan tanggungjawab mereka. Lagi tinggi jawatan atau peranan kita di dunia ini, lagi besar akan amanah yang perlu dipikul. Seorang pekerja biasa di sebuah pejabat bertanggunjawab terhadap bos tempat bekerja, begitu juga dengan bos bertanggungjawab terhadap pekerja dan syarikatnya. Di rumah, kedua ibu bapa diamanahkan untuk mendidik anak mereka sebaik mungkin manakala anak-anak diperintah untuk mentaati kedua orang tuanya. Jika dilihat, walau apa jua level anda di dunia ini, sama ada seorang tukang cuci, pemandu, tentera, ibu bapa dan lain-lain kita sebagai insan saling memerlukan satu sama lain dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut. Janganlah kita berebut jawatan, kerana belum tentu kita dapat melaksanakan tanggungjawab yang berat tersebut. Masakan insan yang hebat seperti Saidina Umar pun berasa beliau tidak mampu untuk menerima tanggungjawab sebagai seorang khalifah. Malah berpesan kepada anaknya supaya tidak menerima peranan khalifah selepas beliau kerana berasa tanggungjawab tersebut amatlah besar. Tetapi pada hari ini manusia sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi memastikan dirinya diangkat sebagai seorang pemimpin di kalangan masyarakat. Manusia semakin berebut mencari jawatan di dunia sedangkan dirinya belum tentu layak menerimanya. Dalam konteks mahasiswa pula, jika anda adalah golongan pemimpin, kita perlu sedari bahawa anda telah terpilih dan dipilih melalui pungutan suara, undian atau apa jua kaedah perlantikan bagi menerima akan tanggungjawab. Maka pemimpin mahasiswa perlu melaksanakan sebaik mungkin agar kelak tidak merana di soal oleh pencipta. Kita sebagai pemimpin mahasiswa seharusnya berusaha melihat tanggungjawab itu sebagai amanah tetapi bukannya sebuah peluang. Peluang menjadi seorang yang terkenal di kalangan sahabat, menikmati pelbagai kemudahan dan keistimewaan. Jadikan amanah untuk melaksanakan tanggungjawab itu sebagai keutamaan dan selebihnya hanya sisipan hasil usaha kerja keras anda. Jika manusia di dunia ini meletakkan keutamaan melaksanakan tanggungjawab kerana Allah SWT maka tidak akan berlakunya kepincangan dalam menjalankan amanah yang telah diberikan.




No comments:

Post a Comment

Sila komen.